Friday, January 3, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pura-pura jadi pelanggan, larikan barang kemas

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2012 – Suasana tenang di sebuah kedai emas di Serusop bertukar cemas dan gempar apabila seorang wanita membawa lari sejumlah barang kemas yang dianggarkan bernilai lebih $18,000 dalam kejadian pada tengah hari.

    Media Permata yang berada di tempat kejadian, dalam temu bual bersama jurujual kedai berkenaan berkata bahawa seorang wanita yang dipercayai seorang warga tempatan memasuki kedai berkenaan pada kira-kira pukul 12 tengah hari dan melihat beberapa barang kemas termasuk rantai dan gelang emas.

    Katanya, wanita itu tertarik dengan empat utas rantai dan dua utas gelang.

    Menurut jurujual itu lagi, wanita itu kemudian keluar seketika dari kedai untuk membuat panggilan telefon, sebelum masuk semula ke dalam kedai lalu berunding mengenai dengan harga barang-barang kemas berkenaan, namun melarikannya.

    Pada masa yang sama seorang lagi jurujual yang berada di pintu kedai berkenaan cuba untuk menangkap wanita berkenaan tetapi wanita itu dapat melepaskan diri dan berlari menuju ke dalam keretanya yang berdekatan lalu memandu meninggalkan tempat kejadian itu.

    Sementara itu, seorang pekerja pasar raya di situ ternampak sebuah dompet yang dipercayai milik wanita berkenaan lalu menyerahkan dompet berkenaan kepada jurujual yang bertindak untuk menelefon polis dan menghubungi pemilik kedai barang kemas berkenaan, memaklumkan mengenai kejadian itu.

    Menurut jurujual itu lagi, barang-barang kemas yang dibawa lari oleh wanita berkenaan bernilai lebih dari $18,000. Jurucakap Pasukan Polis Diraja Brunei ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan dan polis menjalankan siasatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda