BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mei – Pada tahun 2015/16, purata perbelanjaan penggunaan bagi sebuah keluarga di Negara Brunei Darussalam meningkat sebanyak $28 (0.2 peratus) kepada $2,923 sebulan, berbanding $2,895 sebulan pada tahun 2010/11.
Manakala itu, daripada aspek perbelanjaan per kapita, secara purata negara adalah kira-kira $472 sebulan berbanding $457 sebulan pada tahun 2010/11, menurut Laporan Penemuan Ringkas Kajian Perbelanjaan Keluarga (KPK) 2015/16 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), di sini, hari ini.
Menurut laporan itu, corak perbelanjaan menunjukkan bahawa perbelanjaan bagi perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain adalah yang tertinggi sebanyak $988 sebulan atau 33.8 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan bulanan.
Ini diikuti oleh perbelanjaan bagi pengangkutan sebanyak $379 sebulan (13.0 peratus) dan makanan sebanyak $364 sebulan (12.5 peratus).
Kajian juga menunjukkan bahawa perbelanjaan keluarga bagi pendidikan telah merekodkan peningkatan tertinggi sebanyak 18.3 peratus setahun dalam tempoh lima tahun iaitu daripada $79 sebulan pada 2010/11 kepada $183 sebulan pada 2015/16.
Manakala, perbelanjaan bagi kelengkapan rumah dan penyelenggaraan rumah rutin mencatatkan penurunan tertinggi sebanyak 9.4 peratus setahun daripada $223 sebulan pada 2010/11 kepada $136 sebulan pada 2015/16.
Perbelanjaan median isi rumah pada 2015/16 pula adalah $2,205 sebulan berbanding $2,241 sebulan pada 2010/11. Ini menunjukkan bahawa separuh daripada keseluruhan isi rumah di Negara Brunei Darussalam mempunyai perbelanjaan kurang daripada $2,205 sebulan dan separuh lagi lebih daripada $2,205 sebulan.
Dari segi pendapatan keluarga pula, pada 2015/16, pendapatan median isi rumah adalah $5,611 sebulan dan ini menunjukkan bahawa separuh daripada keseluruhan isi rumah di Negara Brunei Darussalam mempunyai pendapatan kurang daripada $5,611 sebulan manakala itu, separuh lagi menerima lebih daripada $5,611. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 4.2 peratus setahun daripada $4,576 pada 2010/11.
Manakala itu, pendapatan bulanan keluarga secara purata di Negara Brunei Darussalam pada 2015/16 telah meningkat sebanyak 4.3 peratus setahun kepada $7,009 sebulan daripada $5,670 sebulan pada 2010/11. Pendapatan bulanan per kapita juga meningkat kepada $1,131 daripada $895 pada 2010/11.
Dari segi sumber pendapatan, pendapatan pekerjaan yang dibayar menyumbang sebahagian besar daripada pendapatan purata bulanan isi rumah sebanyak 70.7 peratus ($4,953) pada 2015/16.
Pendapatan sendiri, termasuk pendapatan pekerja keluarga, menyumbang 5.8 peratus ($409) daripada pendapatan isi rumah bulanan purata. Sementara itu, pendapatan harta dan pendapatan pemindahan masing-masing menyumbang 12.5 peratus ($878) dan 11.0 peratus ($770).
Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui JPKE telah menjalankan kajian berkenaan bermula 1 April 2015 hingga 31 Mac 2016 dan ia merupakan kajian keenam seumpamanya yang dijalankan di Negara Brunei Darussalam.
Objektif utama KPK 2015/16 ialah untuk mengumpulkan maklumat mengenai corak perbelanjaan isi rumah dan tahap pendapatan isi rumah yang lengkap dan terkini.
Selain itu juga, mengemaskinikan senarai dan kewajaran barangan serta perkhidmatan bagi Indeks Harga Pengguna (IHP) dan mengumpulkan maklumat tambahan bagi kegunaan perangkaan akaun negara dan perangkaan sosial.
Dalam kesempatan ini, JPKE merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua keluarga yang terpilih bagi KPK 2015/16 atas kerjasama yang telah diberikan sepanjang tempoh kajian.
Laporan Penemuan Ringkas KPK 2015/16 boleh didapati melalui laman web JPKE. Laporan yang lebih terperinci akan dikeluarkan melalui penerbitan akan datang. Sebarang pertanyaan mengenai perkara ini bolehlah dirujuk ke JPKE melalui talian 2230250 atau 2230265 (waktu pejabat), e-mel ke alamat info.statistics@jpke.gov.bn atau layari laman sesawang www.depd.gov.bn.