Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Buku Sejarah Mukim Saba, Purih Mukim Saba Ristaan Sejarah Kegemilangan di Negara Brunei Darussalam telah dilancarkan, kelmarin, di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam.
Pelancarannya telah disempurnakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned selaku tetamu kehormat majlis.
Yang Berhormat Pehin dalam ucapan pelancarannya antara lain berkata, beliau melihat buku berkenaan sebagai benar-benar buku sejarah.
“Purih Saba adalah purih pahlawan yang gagah perkasa, seperti yang terpapar dalam fakta atau terkandung dalam riwayat hidup beberapa ‘tokoh besar’ purih Saba, khasnya dua orang yang sangat tersohor seperti Haji Saman dan juga Liau Badar.
“Untuk mengetahui lebih lanjut, elok untuk membaca buku ini, di mana banyak maklumat dapat dikongsikan daripada tokoh-tokoh penulis dan pemikir purih Saba,” jelasnya.

Beliau turut mengimbas kembali, di mana sewaktu zaman kanak-kanak dan remajanya telah banyak dihidangkan cerita-cerita mengenai Haji Saman dan Liau Badar.
“Datuk dan nenek tanpa jemu-jemu mengulang-ulang cerita bahawa Haji Saman dan Liau Badar adalah purih kitani, wang! Mereka itu sangat gagah, tetapi bukan gagah berkelahi menganiaya orang, bahkan gagah berani melawan orang putih dan menyelamatkan raja,” kongsinya.
Beliau seterusnya menegaskan, menyebut-nyebut jasa dan kebaikan seseorang yang telah meninggal dunia adalah digalakkan oleh agama, termasuk menyebut-nyebut para pahlawan yang berkorban membela agama, bangsa dan negara.
“Adalah wajar dan tidak salah, kalau kita pun menyebut-nyebut nama-nama dan kebaikan pahlawan-pahlawan kita,” tambah beliau.
Beliau seterusnya berkata, inilah sedikit gambaran mengenai pahlawan-pahlawan yang diperolehi dari tradisi tuturan lisan yang menurut Haji Masri bin Haji Kambar belum lagi pernah dibuat kajian dari perspektif sejarah.

