Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 29 April – Dalam usaha untuk memberikan peluang kepada murid-murid dan pelatihnya berinteraksi serta meningkatkan keyakinan masing-masing, Pusat Bahagia Eric Goh telah menganjurkan aktiviti sukan ria yang berlangsung di pusat tersebut di Jalan Pandan, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut ialah Ketua Cawangan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) Daerah Belait, Dayang Noridah binti Haji Ishak.
Turut hadir selaku tetamu undangan ialah penderma-penderma bagi aktiviti tersebut, Wong Ming Ching dan Dayang Jainab bint Haji Mohd Said.
Aktiviti sukan yang buat julung kalinya diadakan di pusat tersebut juga bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan dan juga untuk mengeratkan hubungan sesama warga pusat dan masyarakat serta mempromosikan keterangkuman dalam kalangan murid dan pelatih, kakitangan serta masyarakat di samping memupuk semangat kerjasama dan berganding bahu antara murid, pelatih dan kakitangan.

Ia juga dihasratkan untuk menggalakkan murid-murid dan pelatih pusat tersebut untuk bergiat lebih aktif serta menjaga kesihatan mereka melalui aktiviti bersukan.
Selain itu, aktiviti berkenaan juga sebagai mempromosikan keterangkuman dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU) dan masyarakat di mana mereka akan sama-sama mengambil bahagian dalam aktiviti yang diadakan tanpa mengira perbezaan keupayaan.
Pelbagai acara sukan ria diadakan bagi memeriahkan lagi aktiviti berkenaan, yang turut menceriakan peserta-peserta kalangan pelajar pusat berkenaan.