BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE) telah menubuhkan Pusat Bantuan TID Rollover berhubung dengan TID Rollover yang akan berlaku pada 24 November ini.
Penubuhan pusat bantuan itu adalah bagi mengurangkan impak TID Rollover bagi pelanggan-pelanggan yang menggunakan meter prabayar seluruh negara.
Selain itu, pusat bantuan yang terdiri daripada gabungan agensi kerajaan iaitu JPE dan agensi-agensi swasta seperti Syarikat Unified Smart Metering Services (USMS) Sdn Bhd dan Talian Darussalam 123 itu diharap akan dapat membantu melancarkan dan mengurangkan isu-isu yang berkemungkinan berbangkit selepas 24 November nanti.
Pusat bantuan itu akan mula beroperasi pada 18 November hingga 7 Disember dan ia akan beroperasi selama 24 jam setiap hari.
Dalam kesempatan itu, pihak JPE menyeru pelanggan-pelanggan yang menggunakan meter jenama STAR, INHE dan PLESSEY yang belum mendaftar bagi penukaran meter-meter untuk menghubungi Syarikat USMS Sdn Bhd untuk penjadualan penukaran meter bagi memastikan kelangsungan bekalan elektrik.
Manakala, bagi pelanggan meter prabayar elektrik berjenama ACTARIS, CONLOG, LANDIS GYR dan STAR (STS Upgraded) yang belum melakukan reset meter prabayar bolehlah mendapatkan kod reset di kaunter-kaunter cawangan JPE di seluruh negara.
Kaunter-kaunter pembayaran JPE beroperasi setiap hari Isnin hingga Khamis dan Sabtu bermula jam 8 pagi hingga 2:30 petang.
Orang ramai juga boleh mengunjungi kaunter pembayaran yang beroperasi pada hari Jumaat jam 8 pagi hingga 11 pagi (bermula 15 November hingga 7 Disember 2024) bagi pencerahan mengenai reset meter prabayar atau bagi memperoleh kod reset.
Selain itu, pelanggan juga boleh mendapatkan kod reset melalui laman sesawang rasmi JPE www.des.gov.bn dan menekan butang TID Rollover. Pelanggan hanya perlu memasukkan nombor meter dan kod reset akan diberikan. Tiada bayaran dikenakan bagi mendapatkan kod reset tersebut.
Selain itu, pelanggan juga boleh memperoleh kod reset melalui hotline TID Rollover 7188030/7188031/7188032/7188034/7188035/8280014 atau 8280015. Awda juga boleh menghubung 2387000 sambungan 3462/3464 atau 7188037/7188038/7296048 atau 7294036 pada waktu bekerja. Ia dapat dihubungi dengan menggunakan aplikasi WhatsApp bagi memudahkan orang ramai.
Pelanggan yang mempunyai token yang telah dibeli melalui kaunter JPE, melalui perbankan dalam talian atau mesin-mesin CDM perlulah memasukkan token-token tersebut sebelum melakukan Prepaid Meter Reset.