BAGHDAD, 17 JULAI – Kebakaran melanda sebuah pusat beli-belah yang baru dibuka di timur Iraq, mengorbankan lebih 60 orang, termasuk kanak-kanak, kata pegawai Iraq hari ini.
Pasukan pertahanan awam menyelamatkan lebih 45 orang yang terperangkap ketika kebakaran berlaku lewat Rabu di bandar Kut, kata Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan. Yang lain masih hilang, menurut agensi berita Iraq yang dikendalikan kerajaan.
Gambar dan video di media tempatan menunjukkan Corniche Hypermarket Mall, pusat beli-belah lima tingkat yang dibuka hanya seminggu sebelum itu, hangus dijilat api.
Kementerian Dalam Negeri Iraq dalam satu kenyataan berkata 61 orang terbunuh dalam kebakaran pusat beli-belah, kebanyakannya sesak nafas. Antara yang maut adalah 14 mayat hangus yang masih belum dikenal pasti, katanya.
Gabenor Wilayah, Mohammed al-Mayyeh dalam satu kenyataan mengisytiharkan tiga hari berkabung. Beliau berkata punca kebakaran masih dalam siasatan tetapi kes undang-undang telah difailkan terhadap pemilik bangunan dan pemilik pusat beli-belah. Beliau tidak menyatakan jenis pertuduhan yang dikenakan.
“Kami memberi jaminan kepada keluarga mangsa bahawa kami akan mengambil tindakan keras terhadap mereka yang bertanggungjawab atas kejadian ini,” kata al-Mayyeh.
Hasil siasatan awal akan dikeluarkan dalam tempoh 48 jam, katanya.
Perdana Menteri Iraq, Mohammad Shia al-Sudani dalam satu kenyataan berkata beliau telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri melawat lokasi kebakaran untuk menyiasat dan mengambil langkah-langkah wajar untuk mencegah kejadian daripada berulang. – AP
