Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Pusat CACHE Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB), satu-satunya pusat yang menawarkan kelayakan vokasional diploma NCFE CACHE di Negara Brunei Darussalam, telah menerima lawatan dari Laser Learning, sebuah syarikat perisian e-pembelajaran yang berpangkalan di United Kingdom baru-baru ini.
Pengarah Laser Learning, Vivette Eaton, yang mengadakan lawatan selama empat hari ke Pusat CACHE ISB, bertujuan untuk memerhatikan peruntukan pusat tersebut bagi kelayakan NCFE CACHE, kelayakan profesional untuk orang dewasa pada tahun-tahun awal, pengajaran dan pembelajaran serta pendidikan keperluan khas.
Platform pembelajaran dalam talian Laser Learning disokong oleh organisasi yang menganugerahkan NCFE CACHE dan digunakan di seluruh United Kingdom dan antarabangsa. Pusat CACHE ISB menggunakan e-portfolio Laser Learning dan sumber untuk menyokong pelajar mencapai kelayakan vokasional mereka.
Ketua Pusat CACHE ISB, Nadine Nelson, berkata, mereka sangat teruja menerima lawatan Vivette Eaton dan menghargai masa beliau bersama pasukan Early Years serta kakitangan yang terlibat dengan program latihan dewasa mereka. Vivette Eaton memainkan peranan yang penting dalam Pusat CACHE ISB, melalui syarikatnya yang menyediakan sistem e-portfolio yang digunakan oleh semua pelajar semasa kelayakan kursus CACHE mereka.
Tambahnya lagi, dengan pengalaman luas Vivette Eaton di pusat antarabangsa yang menawarkan kursus CACHE, lawatan beliau memberikan peluang yang tidak ternilai untuk mengukuhkan perkongsian mereka dan mendapatkan pandangan pakar beliau mengenai program latihan di ISB.
Mengimbas kembali lawatannya, Vivette Eaton turut berkata, Pasukan Early Years mengikuti Early Years Foundation Stage Framework seperti yang digunakan di United Kingdom, dengan kakitangan yang sudah mempunyai kelayakan United Kingdom CACHE Level 3 Early Years sementara yang lain masih menjalani latihan untuk kelayakan itu.
“Kepelbagaian sumber di ISB menyediakan pengalaman pembelajaran yang sangat baik dan itulah yang membantu pasukan kakitangan yang profesional dan bermotivasi tinggi dalam mewujudkan warga masa depan yang bergaul, berpengetahuan, prihatin.”
“Melangkah ke bahagian Early Years sekolah adalah seperti melangkah ke dalam persekitaran keluarga yang prihatin. Ia adalah pengalaman yang benar-benar indah dan saya tidak sabar untuk melihat apa yang dicapai oleh Pusat CACHE ISB pada masa hadapan,” tambah Vivette Eaton.
Pusat CACHE ISB menawarkan kelayakan profesional untuk orang dewasa pada tahun-tahun awal, pengajaran dan pembelajaran, dan pendidikan keperluan khas. Kelayakan CACHE diakreditasi oleh Kementerian Pendidikan Brunei dan NCFE United Kingdom.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/3-ISB.jpg)