Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Bersempena dengan Sambutan Nuzul Al-Quran, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam tidak ketinggalan untuk mengadakan Majlis Khatam Al-Quran dan Penyampaian Sumbangan Derma Kepada Anak Yatim dan Kurang Berkemampuan yang berlangsung di Surau Pusat Ehsan, hari ini.
Majlis tahunan itu turut dihasratkan untuk menjadi sebuah platform bagi menghayati Al-Quran serta untuk menghulurkan bantuan kepada anak-anak yatim dan golongan yang kurang berkemampuan.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad serta isteri.
Majlis berkenan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang terdiri daripada individu dengan kelainan upaya serta kakitangan pusat berkenaan dan diteruskan dengan bacaan Takhtim, Tahlil, Bacaan Doa Khatam dan Bacaan Doa Selamat, Dikir Marhaban serta pengagihan bunga telur kepada peserta oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi dan isteri.

Acara kemuncak bagi majlis berkenaan adalah penyampaian derma dengan jumlah keseluruhan sebanyak $25,600, di mana penaja korporat dan penderma individu telah bermurah hati untuk menyumbang kepada tabung dan menyokong pusat berkenaan.
Semua di atas: Antara penaja korporat dan penderma individu yang menghulurkan sumbangan.
Majlis kemudian menyaksikan penyampaian derma kepada 47 orang penuntut yang terdiri daripada anak-anak yatim dan kurang berkemampuan serta seorang ibu tunggal daripada kakitangan Pusat Ehsan.
Semua di atas: Antara penerima yang menerima sumbangan dalam majlis berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI