Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Sebanyak $100,000 disumbangkan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) kepada dua buah badan bukan kerajaan (NGO) yang mengendalikan program pembangunan dan pemulihan golongan orang kelainan upaya (OKU), sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan dan kesejahteraan golongan tersebut.
Berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan, semasa Majlis Doa Kesyukuran Sempena Ulang Tahun ke-33 Penubuhan Yayasan yang diadakan di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan.
Dua buah NGO yang menerima sumbangan berkenaan ialah Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dan Persatuan SMARTER Brunei. Kedua-dua NGO itu masing-masing menerima $50,000 sebagai sumbangan tahunan Yayasan bagi tahun 2025.
Bagi Pusat Ehsan, sumbangan diterima oleh Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan, Dato Paduka Haji Mohd Alimin bin Haji Abdul Wahab, untuk menyokong pelaksanaan perkhidmatan dan latihan kepada insan-insan istimewa yang kurang upaya dari segi anggota dan intelek, agar mereka dapat mencapai potensi maksimum.
Sementara bagi Persatuan SMARTER Brunei, sumbangan berkenaan diterima oleh Yang Di-Pertua, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang.
Daripada jumlah tersebut, 50 peratus disalurkan bagi mengendalikan urusan pengajaran dan pembelajaran khusus untuk anak-anak autistik, manakala 50 peratus lagi digunakan bagi pembayaran yuran pendidikan anak-anak autisme daripada keluarga berpendapatan rendah.
Turut hadir, ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan, para jemputan khas, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan, serta guru-guru Sekolah Yayasan.
Sumbangan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Yayasan dalam memberi sokongan kepada usaha membimbing, mendidik dan melatih golongan OKU agar mereka mampu menjadi individu yang berdikari serta menyumbang kepada masyarakat dan negara.


