Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Pesuruhjaya Tinggi India ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ajaneesh Kumar, kelmarin, telah mengadakan lawatan ke Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) sekali gus menyerahkan sumbangan buku kanak-kanak bagi kegunaan para pelajar berkeperluan khas.
Semasa lawatan itu juga, Tuan Yang Terutama telah menyerahkan sumbangan sebanyak $1,000 kepada Pusat Ehsan yang diterima oleh Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin.
Turut hadir pada lawatan tersebut ialah Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan, Dato Paduka Haji Mohd Alimin bin Haji Abdul Wahab.
Sejak Jun 2018, Suruhanjaya Tinggi India di Negara Brunei Darussalam sangat komited dalam memeduli dan menyokong Pusat Ehsan dan aktif mengadakan aktiviti lain bersama pusat tersebut seperti kelas yoga dua kali seminggu bagi kepentingan pelajar berkeperluan khas.
Selain itu, beberapa pasukan kebudayaan dari India juga pernah datang bagi mempersembahkan beberapa pertunjukan menarik dan menghiburkan untuk memberi keceriaan kepada warga Pusat Ehsan tahun lalu.
Semasa lawatan itu, Tuan Yang Terutama telah memuji akan kepentingan yang dimainkan oleh Pusat Ehsan dalam memeduli dan memastikan kebajikan kanak-kanak kelainan upaya di negara ini dipeduli dan dijaga.
