Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Duta Besar Istimewa dan Mutlak Amerika Syarikat ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Matthew J.Matthews bersama tiga orang dari kedutaan berkenaan telah mengadakan lawatan ke Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan), hari ini.
Sejurus ketibaan, Tuan Yang Terutama bersama rombongan dialu-alukan oleh Eksekutif Operasi Perbendaharaan Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin diikuti dengan lawatan ke beberapa kemudahan di pusat berkenaan.
Lawatan berkenaan bermula ke bilik-bilik darjah di mana pelajar Pusat Ehsan sedang belajar dan diteruskan lawatan ke kemudahan sukan, sick bay, bilik rawatan dan banyak lagi.
Antara tujuan lawatan berkenaan adalah untuk menyediakan bantuan dan sokongan kepada Pusat Ehsan sementara meluangkan masa bersama para pelajar yang berkeperluan khas.
