Pusat Ehsan terima sumbangan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Sebagai usaha berterusan untuk menyokong masyarakat menerusi pelbagai organisasi kebajikan dan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat, syarikat Intracorp Sdn Bhd dengan rakan kongsinya, Mistral Mayer telah meng-hulurkan sumbangan kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan).

Majlis penyerahan sumbangan berlangsung di Pusat Ehsan, hari ini, di mana Intracorp Sdn Bhd menghulurkan sumbangan berjumlah $1,600 yang disampaikan oleh Ketua Pemasaran, Lolita Carman Bito-on kepada Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin.

Sumbangan berkenaan merupakan hasil kutipan sempena acara ulang tahun Mistral & Mayer semasa acara Brunei Salebration di mana sebahagian hasil jualan akan disumbangkan ke Pusat Ehsan.

Sepanjang tempoh jualan berkenaan, 1 peratus hasil jualan barangan jenama Mayer, Mistral, Ariston, KitchenAid, Honeywell dan Candy Products disumbangkan ke Pusat Ehsan di mana sebanyak $1,600 berjaya dikutip.

Dalam kesempatan itu, pihak pengurusan Intracorp (B) Sdn Bhd menyatakan penghargaan kepada pelanggan atas sokongan mereka dalam menjayakan inisiatif berkebajikan berkenaan.

Pengiran Datin Hajah Noraini (dua dari kiri) menerima sumbangan berjumlah $1,600 daripada Intracorp (B) Sdn Bhd yang disampaikan oleh Lolita Carman Bito-on (dua dari kiri). – Gambar serahan Intracorp (B) Sdn Bhd