Pusat Ehsan terima sumbangan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Semasa Julai dan Ogos lalu, Community for Brunei bekerjasama dengan Jab Gym untuk mengumpul dana bagi Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) dan pada masa yang sama, mempromosikan gaya hidup yang sihat kepada masyarakat menerusi kempen #MakeAnImpact for Pusat Ehsan.

Semasa kempen berkenaan, minuman jus popular Jab Juice Bar dan bar tenaga (energy bar) yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar vokasional Pusat Ehsan dijual di gim berkenaan dan juga menerusi platform pasaran Community For Brunei.

Pakej care atas talian, boleh dibeli oleh orang ramai di laman sesawang Community For Brunei di mana semasa kempen selama tujuh minggu yang bermula 17 Julai hingga 28 Ogos, sebanyak $23,217.25 berjaya dikumpulkan hasil daripada jualan lebih 500 jus, 200 bar dan jualan pakej care serta sumbangan oleh Jab Gym sebanyak $20,000.

Seratus peratus hasil kutipan berkenaan disalurkan kepada pembangunan sekolah rendah baharu Pusat Ehsan dan juga kepada penyelenggaraan program-program pemulihan dan pendidikan pusat itu.

Sehubungan itu, majlis penyerahan sumbangan kepada Pusat Ehsan telah diadakan di Ibu Pejabat Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Bandar Seri Begawan, hari ini, di mana menyampaikan sumbangan daripada BIBD ialah Ketua Pegawai Pemasaran, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar dan wakil dari Jab Gym, Penyelaras Operasi, Awang Fakhrul Aizat Sufri dan bagi pihak Pusat Ehsan ialah Pemegang Amanah Operasi dan Eksekutif, Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin.

Hajah Nurul Akmar (dua, kiri) dan Awang Fakhrul Aizat Sufri (dua, kanan) menyerahkan cek bagi Pusat Ehsan kepada Pengiran Datin Hajah Noraini (kanan) di majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat BIBD.

Hajah Nurul Akmar menyatakan bahawa BIBD menerusi Community For Brunei amat bangga untuk memainkan peranan dalam memberikan inspirasi bagi lebih banyak sokongan dan penyertaan seluruh masyarakat yang memerlukan bantuan tambahan.

Hasrat Community for Brunei, jelasnya, adalah untuk menjadi platform yang mengetengahkan dan membawa bersama komuniti yang berbeza serta kegiatan-kegiatan berkebajikan yang amat penting bagi masyarakat Brunei.

“Pengalaman kami dengan pandemik COVID-19 menunjukkan bahawa banyak yang dapat kita laksanakan apabila komuniti bersatu-padu.”

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada Jab Gym atas kerjasama yang dihulurkan dan berharap usaha itu dalam memberikan impak kepada komuniti berkeperluan khas di Brunei.

Di akhir kempen berkenaan, pasukan Community for Brunei dan pelajar-pelajar Pusat Ehsan turut membuat lawatan ke Jab Gym di mana mereka turut menyertai sesi senaman ringan bersama salah seorang jurulatih gim berkenaan, Najid Rafie.

Community for Brunei merupakan sebuah inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang dikendalikan oleh The Collective Art Events, Alicia Newn dan Think Axis, di bawah BIBD di mana ia mengetengahkan pelbagai kegiatan berkebajikan dan sosial yang dekat pada hati masyarakat Brunei.

Ia mengetengahkan sebuah pasaran maya yang direka untuk membantu perniagaan-perniagaan kecil dan pada masa yang sama, mengetengahkan pelbagai kegiatan sosial dan kebajikan yang penting kepada masyarakat Brunei.

Community for Brunei menggunakan teknologi untuk menghubungkan komuniti, menyediakan ekosistem atas talian dengan pembayaran digital sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan pendigitalan masyarakat menerusi ekonomi tanpa wang tunai.