Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Bersempena dengan bulan Ramadan yang mulia, Pusat Pembelajaran dan Latihan CfBT tidak ketinggalan untuk menghulurkan sumbangan derma kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) dalam Majlis Penyampaian Derma yang berlangsung di Pusat Pembelajaran dan Latihan CfBT, Kiarong, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Sumbangan derma dari CfBT disampaikan oleh Penyelaras Pusat Sumber, CfBT, Dayang Nur Aliaa Athirah binti Muhammad Hanafi kepada Pemegang Amanah Dasar dan Perancangan, Haji Ahmad bin Haji Abdul Rahman.
Sumbangan derma berjumlah $585.10 merupakan hasil kutipan daripada penjualan tiket semasa Hari Keluarga Ceria CfBT yang diadakan pada 1 April lalu.
Acara hari keluarga itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan di mana pelbagai acara telah dikendalikan di sekitar kawasan pejabat disertai oleh bukan sahaja orang dewasa tetapi juga kanak-kanak. Hasil jualan tiket bagi pelbagai acara yang diadakan disalurkan seratus-peratus kepada badan kebajikan yang dipilih oleh CfBT iaitu Pusat Ehsan.
