BESUT, 1 Nov – Pusat Fertigasi Cili Mega Kampung Cegar Batang di Pasir Akar, Hulu Besut yang merupakan kawasan penanaman cili jenis Sakata 461 yang berkualiti dan terbesar di Terengganu, berupaya menghasilkan antara 90 dan 94 tan metrik hasil tanaman berkenaan musim ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Komoditi dan Perladangan Negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata hasil tuaian cili dari kawasan itu meningkat berbanding biasa dengan pengeluaran bersaiz enam hingga lapan inci setiap cili.
Beliau berkata berbanding tiga kawasan lain di Terengganu – Gong Tengah, Gong Medang dan Alor Lintang- cili dihasilkan di Cegar Batang adalah antara terbaik kualitinya.
“Seramai 41 peserta yang mengusahakan tanaman berkenaan berjaya menghasilkan cili terbaik dan kini ia bukan sahaja untuk pasaran Terengganu tetapi dipasarkan di Kelantan dan Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Tuai Hasil Cili di Fertigasi Cegar Batang, Pasir Akar, di sini hari ini.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/Page-19-A_021117.jpg)
Pehimi berkata terdapat 47 bangsal ditanam dengan 940,000 pokok cili dengan setiap pokok akan menghasilkan dua kilogram cili musim ini.
Beliau berkata setakat ini, Fertigasi Cegar Batang merupakan satu-satunya kawasan yang masih mampu membekalkan cili untuk pasaran manakala di beberapa tempat lain didapati kurang mengeluarkan hasil menyebabkan harga cili tidak stabil di pasaran.
“Usaha sedang dilakukan bagi menstabilkan harga cili yang dihasilkan oleh peserta di situ memandangkan harganya tidak menentu antara RM8 dan RM10 sekilogram di pasaran tempatan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri akan cuba membantu penanam cili di kawasan berkenaan bagi memastikan ia terus menjadi pembekal cili terulung dengan menyediakan pelbagai keperluan penanaman seperti sabut kelapa dan polibeg. – Bernama