Pusat KACA terima sumbangan daripada CBTL

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – The Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL) telah menyerahkan sumbangan berjumlah $1,000 yang dikumpulkan menerusi kotak sumbangan di kesemua cawangannya di negara ini, kepada Pusat Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA), hari ini.

Penyerahan sumbangan berkenaan telah berlangsung di Pusat KACA, Kampung Kiulap di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Presiden PAR Food & Beverage Sdn Bhd, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Abdul Mun’im bin Pengiran Anak Haji Tahiruddin yang juga berkesudian menyerahkan sumbangan kepada Presiden Pusat KACA, Dato Paduka Haji Zainal bin Haji Momin.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Bendahari Persatuan KACA, Haji Roslan bin Haji Hassan dan Pengurus Besar PAR Food & Beverage Sdn Bhd, Art Terrado.

Majlis turut menyaksikan penyerahan beg-beg bungkusan bertema Hari Raya yang disumbangkan khas oleh CBTL bagi para tenaga pengajar serta pelajar di pusat
berkenaan.

Art Terrado memberitahu bahawa CBTL berharap sumbangan berkenaan sedikit sebanyak dapat membantu Pusat KACA dalam memberi layanan kepada kanak-kanak istimewa dan memberi keceriaan kepada tenaga pengajar serta para pelajar di pusat berkenaan lebih-lebih lagi semasa perayaan Hari Raya ini.

Pada majlis itu, YAM Pengiran Anak Abdul Mun’im turut membuat lawatan ke kelas dan melihat secara dekat kemudahan yang ada di pusat berkenaan.

YAM Pengiran Anak Abdul Mun’im menyerahkan sumbangan kepada Dato Paduka Haji Zainal. – Gambar oleh Muiz Matdani