TAWAU, 20 Sept – Balai Bomba dan Penyelamat Tawau mengarahkan pengusaha pusat tahfiz, madrasah, rumah anak yatim serta sekolah agama persendirian yang belum berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) agar menyediakan pelan bangunan untuk kelulusan keselamatan menduduki premis.
Ketua Balai Ismaidi Ismail berkata perkara itu wajib disediakan sebelum pemeriksaan keselamatan dilakukan terhadap premis masing-masing.
“Majlis Perbandaran Tawau (MPT) telah bersetuju untuk memberi kelulusan dalam masa sebulan dengan syarat memenuhi peraturan.
“Selepas kelulusan pelan bangunan, MPT akan keluarkan sijil layak menduduki (OC) kepada pengusaha, sekali gus memudahkan mereka mendapatkan kelulusan pendaftaran daripada Jheains,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan pengusaha pusat keagamaan, di sini hari ini.
Pada perjumpaan itu 19 wakil pengurusan pusat keagamaan termasuk tahfiz, madrasah, rumah anak yatim dan sekolah persendirian akur menyediakan pelan bangunan masing-masing.

Bernama turut difahamkan daripada 19 itu hanya 8 yang berdaftar dengan Jheains.
Dalam pada itu, katanya pusat tahfiz berasrama mesti memiliki sekurang-kurangnya dua pintu akses.
“Bangunan juga mesti mempunyai peralatan kebakaran mudah alih termasuk pemadam api,” katanya.
Sabtu lepas Presiden MPT Alijus Sipil memberi amaran untuk menutup sementara pusat tahfiz di kawasan perbandaran Tawau yang tidak mempunyai sijil perakuan siap dan pematuhan serta berisiko kebakaran. – Bernama