MIRI, 2 JUN – Pusat Kebudayaan Orang Ulu (OUCC) pertama di negara ini akan dibangunkan di Bandaraya Miri, dengan matlamat untuk dijadikan pusat bagi kebudayaan Orang UIu, penganjuran majlis dan ikon perpaduan komuniti itu.
Penasihat Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak, Malaysia (Forum) Datuk Gerawat Gala berkata pelan bangunan OUCC telah pun siap dan diperakukan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebelum dikemukakan kepada Urus Setia Sarawak (SPA) untuk kelulusan sebelum tender dikeluarkan.
“Kerja pembinaan akan bermula selepas tender/kontrak ditawarkan, pembinaan OUCC dijangka mengambil masa 18 bulan dari tarikh penawaran kontrak,” katanya kepada Bernama, dan menambah, setelah siap kelak, OUCC akan menjadi daya penarik pelancongan terbaharu bagi Bandaraya Miri.
Gerawat, yang juga timbalan speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, berkata anggaran jangka masa untuk memulakan pembinaan OUCC bergantung kepada tarikh kelulusan OUCC oleh SPA.
“Reka bentuk OUCC diilhamkan daripada bangunan tradisional Orang Ulu, menggabungkan pelbagai motif Orang Ulu dengan reka bentuk moden bagi memaksimumkan penggunaan ruang bangunan, sebahagian dijadikan pejabat manakala sebahagian lagi untuk penganjuran majlis rasmi,” katanya.
Gerawat berkata sebagai tambahan, kawasan terbuka di luar juga boleh digunakan untuk mengadakan persembahan kebudayaan dan permainan tradisional, dengan landskapnya turut menggabungkan sebahagian daripada kraf serta motif Orang Ulu. – Bernama