Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Pusat kecemerlangan kewangan Brunei terima anugerah

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MEI – Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam Brunei (BILIF) telah menerima anugerah Tadbir Urus Global (3G) bagi kategori 3G Championship Award in Education 2024 dan 3G Human Resource Development Award 2024 semasa acara tahunan Majlis Anugerah 3G ke-9 yang berlangsung di Shangri-la, The Fort Manila, Republik Filipina pada 29 April lalu.

    Menurut kenyataan BILIF, hadir untuk menerima anugerah berkenaan ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif BILIF, Haji Afero Eswandy bin Awang Haji Mohamad.

    Semasa majlis penganugerahan berkenaan, beliau telah menzahirkan rasa syukur kerana menerima anugerah-anugerah berprestij yang mengiktiraf sumbangan BILIF ke arah pembangunan modal insan untuk mewujudkan ahli-ahli profesional industri terkemuka terutamanya dalam bidang kewangan Islam.

    Beliau juga merakamkan penghargaan pada Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) atas sokongan dan bimbingan yang telah diberikan serta kepada pihak berkepentingan, pelanggan dan rakan kongsi BILIF atas sokongan berterusan mereka.

    Majlis yang dianjurkan oleh Cambridge International Financial Advisory (IFA) ini meraikan pencapaian dalam bidang tadbir urus, ketelusan dan tanggungjawab sosial.

    Haji Afero Eswandy bercakap semasa majlis penganugerahan berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BILIF

    Ia juga memberikan pengiktirafan kepada usaha kepimpinan individu, agensi kerajaan, syarikat dan badan bukan kerajaan yang mengamalkan prinsip tadbir urus yang efektif serta berinovasi dalam bidang-bidang berkenaan.

    Majlis itu telah dihadiri oleh perwakilan daripada sektor awam, korporat, sosial serta dermawan dari serata dunia.

    Berikutan itu, BILIF juga telah mengadakan lawatan kerja ke Bangko Sentral ng Pilipinas dan The Insurance Commission di Manila.

    Lawatan-lawatan kerja berkenaan bertujuan untuk membincangkan peluang kerjasama dua hala di antara BILIF dan kedua-dua organisasi terutamanya ke arah pembangunan modal insan dan peningkatan kepakaran dalam bidang kewangan Islam dan takaful.

    BILIF, sebagai sebuah pusat kecemerlangan bagi industri kewangan di negara ini, sentiasa giat menjalankan misinya untuk membentuk pemimpin, pakar dan pemacu inovasi masa depan terutama dalam bidang kewangan Islam dan kepimpinan melalui program dan acara bertaraf antarabangsa.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...