Pusat kecergasan, fasiliti sukan bakal dibuka semula

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MEI – Berikutan dengan langkah-langkah pelaksanaan pelan de-escalation atas nasihat Kementerian Kesihatan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) mengambil langkah untuk melaksanakan fasa pertama pembukaan semula pusat-pusat dan fasiliti sukan di seluruh negara (ataupun Operational Readiness Level 1) bagi empat jenis pusat dan fasiliti sukan bermula Sabtu ini.

Pusat dan fasiliti tersebut seperti gim dan pusat kecergasan, fasiliti sukan tertutup (indoor), fasiliti sukan luar (outdoor) dan padang golf, manakala kolam-kolam renang masih ditutup buat masa ini.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin mengongsikan perkara tersebut pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.

Di bawah Operational Readiness Level 1, keempat-empat fasiliti tersebut akan beroperasi secara terhad dengan berlandaskan kepada syarat-syarat dan garis pandu yang telah dipersetujui bersama Kementerian Kesihatan, tambah Yang Berhormat Dato.

“Pertama, bagi gim dan pusat kecergasan, ianya dibenarkan untuk beroperasi semula dengan 30 peratus kapasiti sahaja dalam satu masa. Fasiliti tersebut hanya dibukakan kepada ahli-ahli yang berdaftar saja di mana pengguna juga hendaklah mendaftar secara advanced (pre-booking) dan dibenarkan untuk menggunakan fasiliti tersebut untuk satu jam,” jelasnya lagi.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan semasa berucap pada sidang media di Kementerian Kesihatan kelmarin. – Gambar oleh Syahmi Hassan

Manakala yang kedua, jelas Yang Berhormat Dato bagi fasiliti sukan tertutup dan fasiliti sukan luar ianya adalah dibenarkan untuk beroperasi semula dengan 30 peratus kapasiti saja dalam satu masa.

Pengguna fasilti-fasiliti berkenaan juga hendaklah mendaftar secara advanced (pre-booking) dan penggunaan hanyalah bagi sukan persendirian (solo player).

“Organised sports, sukan berpasukan dan sukan yang melibatkan kontak (contact activity) adalah tidak dibenarkan,” tegasnya.

Di samping itu, pengguna juga hendaklah membawa peralatan sukan sendiri di mana perkongsian peralatan tersebut adalah tidak dibenarkan.

Sementara itu, padang golf juga akan dibukakan kepada ahli-ahli yang berdaftar saja di mana pengguna juga hendaklah mendaftar secara advanced (pre-booking).

“Setiap flight adalah dihadkan kepada dua pemain sahaja dan kenderaan buggy hanya boleh menampung seorang pengguna pada satu masa dan pengguna juga hendaklah membawa dan menggunakan peralatan sukan sendiri,” tambahnya.

Sehubungan itu, pemilik dan pengguna fasiliti diingatkan untuk memuat turun aplikasi BruHealth bagi tujuan pendaftaran kod QR dan diingatkan garis pandu yang sedia ada juga hendaklah terus dipraktikkan.

Orang ramai dan premis boleh merujuk kepada garis pandu yang terperinci yang telah disediakan oleh KKBS dengan kerjasama Kementerian Kesihatan yang perlu dipatuhi yang mana garis pandu ini akan dikeluarkan untuk rujukan premis dan orang ramai.