Oleh Daniel Lim
KUALA BELAIT, 29 Mac – Pusat Masyarakat Bestari Kampung Pandan telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran di Perpustakaan Kampung Pandan, Kuala Belait, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab dan dialu-alukan oleh pengerusi pusat berkenaan, Awang K Salim bin Abdul Karim.
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh para kakitangan Perpustakaan Kampung Pandan, ahli jawatankuasa Pusat Masyarakat Bestari, termasuklah para pegawai dan kakitangan dari pelbagai agensi dan jabatan di Daerah Belait.
Acara telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat dan kakitangan daripada Jabatan Pembangunan Masyakat, disusuli dengan bacaan Takhtim dan Dikir Marhaban yang diketuai oleh Awang Jawawi bin Haji Shari.
Majlis diakhiri dengan menabur bunga rampai kepada para peserta yang menyertai majlis khatam berkenaan.
