KUCHING, 5 Nov – Pusat Pemulihan Orang Utan Semenggoh, kira-kira 30 kilometer dari sini kini sedang bersiap sedia untuk menunggu kunjungan Putera Charles dari Britain.
Kunjungan baginda ke Bumi Kenyalang akan berlaku esok yang atur cara lawatannya termasuk melawat Pusat Hidupan Liar Semenggoh itu.
Baginda dijangka diberi taklimat mengenai usaha pemulihan yang dilakukan di pusat itu termasuk dibawa ke pelantar khas pengunjung untuk melihat orang utan dan persekitarannya secara lebih dekat.
Kini terdapat kira-kira 26 ekor orang utan separuh liar di Semenggoh yang bergerak bebas di sekitar 740 hektar kawasan hutan simpan.
Selain Pusat Pemulihan Orang Utan Semenggoh, Putera Charles akan turut dibawa melawat Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC), bersebelahan pusat Semenggoh. – Bernama