Friday, November 15, 2024
33.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pusat panggilan palsu tumpas gara-gara pesan makanan terlalu banyak

    MUMBAI, 1 MEI – Polis Mumbai hari ini berkata mereka berjaya menumpaskan sebuah pusat panggilan palsu selepas kakitangan pusat itu membuat pesanan makanan sarapan pagi yang terlalu banyak.

    Pusat tersebut, yang merupakan sebuah rumah terletak di sepanjang Pantai Rajodi di luar ibu kota kewangan India, menempatkan puluhan kakitangan yang tidak dibenarkan untuk meninggalkan bangunan bagi menghalang mereka berinteraksi dengan orang luar.

    Tetapi polis menerima maklumat bahawa seseorang berulang kali memesan puluhan makanan sarapan pagu dari kedai makan berhampiran pada pukul 4 pagi.

    “Pusat peranginan pantai penuh dengan pelancong pada hujung minggu dan hampir lengang pada hari lain. Jadi, 50 hingga 60 pesanan teh dan sarapan pagi begitu awal setiap pagi selama beberapa hari menimbulkan syak wasangka kami dan kami mula memantau tempat itu secara rahsia,” kata pegawai polis Suhas Bavche kepada AFP.

    Polis akhirnya menyerbu rumah itu, yang mempunyai 60 lantai stesen kerja, pada malam 11 April dan menahan pemilik serta 47 pekerja.

    Mereka telah didakwa atas tuduhan menyamar, menipu dan penipuan di bawah Akta Teknologi Maklumat India. Pihak berkuasa juga telah memulakan pemeriksaan forensik terhadap komputer tersebut.

    Siasatan setakat ini mendedahkan bahawa pekerja muda dilatih untuk menerima panggilan daripada pelanggan bank yang tidak curiga dari Australia, kata Bavche.

    Mereka didakwa mengekstrak butiran peribadi dan maklumat keselamatan yang sensitif — termasuk kata laluan sekali — daripada mereka dan menyampaikan maklumat itu kepada pengurus melalui e-mel, kata pegawai itu.

    “Ini mungkin puncak gunung ais. Kami sedang menyiasat hubungan antarabangsa untuk raket itu,” tambahnya.

    “Pusat panggilan palsu seperti itu yang beroperasi dari satu tempat selama beberapa bulan pada satu masa kerap ditumpaskan di seluruh negara.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda