Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pusat penipuan dalam talian Filipina diserbu

    MANILA, 4 OKT – Pihak berkuasa Filipina telah menahan lebih 250 orang, kebanyakannya warga China, dalam serbuan ke atas pusat penipuan dalam talian di Manila, kata pegawai penguat kuasa, hari ini.

    Polis dan pihak berkuasa lainnya menggeledah bangunan pejabat kelmarin untuk mencari kakitangan dengan ratusan telefon, komputer dan kad SIM tempatan dan antarabangsa yang telah didaftarkan sebelumnya, kata Pengarah Eksekutif, Suruhanjaya Anti Jenayah Terancang Presiden (PAOCC), Gilberto Cruz.

    “Ini merupakan helah penipuan yang menganiaya warga asing,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan, merujuk kepada skim di mana penipu akan memperdaya mangsa bagi mendapatkan kepercayaan dan akhirnya mencuri wang mereka.

    Kebimbangan antarabangsa telah meningkat berhubung pusat penipuan serupa di Asia, selalunya dikendalikan oleh mangsa pemerdagangan yang ditipu atau dipaksa untuk mempromosikan pelaburan kripto palsu dan kegiatan jenayah lain.

    Pada Julai lalu, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos mengharamkan semua bentuk pengendali permainan luar pesisir, termasuk pemegang lesen permainan internet, selepas industri perjudian didapati dikaitkan dengan penipuan kewangan, penculikan, pelacuran, pemerdagangan manusia, penyeksaan dan pembunuhan.

    Beribu-ribu pekerja asing di syarikat berkenaan diberi masa dua bulan untuk meninggalkan Filipina.

    Dalam serbuan di Manila kelmarin, 190 warga China, dua warga Taiwan dan 62 warga Filipina telah ditahan di pejabat sebuah syarikat bernama 3D Analyzer Information Technologies Inc.

    Syarikat itu sebelumnya mempunyai lesen permainan Internet tetapi kemudiannya memberitahu pengawal selia ia tidak beroperasi lagi, beritahu Cruz kepada AFP. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda