WELLINGTON, 14 Julai – Kepulauan Cook telah menubuhkan salah satu pusat perlindungan marin terbesar di dunia, melindungi sebahagian besar daripada Lautan Pasifik yang tiga kali lebih besar daripada saiz Perancis.
Undang-undang penubuhan simpanan seluas 1.9 juta kilometer persegi itu diluluskan oleh parlimen negara kecil itu lewat semalam.
Pencinta alam sekitar Kevin Iro, yang pertama mencadangkan idea tersebut lebih lima tahun lalu, berkata ia adalah pencapaian bersejarah yang akan membantu memelihara lautan untuk generasi akan datang.
“Ia adalah masa bersejarah, terutamanya disebabkan semua orang menyokongnya, termasuk pemimpin tradisional kami yang mempeloporinya,” beritahunya kepada AFP.
Kepulauan Cook mempunyai 10,000 penduduk dan 15 pulaunya mempunyai gabungan daratan seluas 236 kilometer persegi, sebesar saiz Washington DC.

Namun kedudukannya yang terpencil di Pasifik, kira-kira separuh jalan di antara New Zealand dan Hawaii tanpa jiran yang dekat, bermakna ia mempunyai wilayah laut yang besar.
Iro berkata penduduk Kepulauan Cook tertarik dengan lautan dan menganggapnya sebagai suci tetapi penangkapan ikan berlebihan dan pencemaran telah merosakkan persekitaran laut, termasuk terumbu karang yang pernah melingkari semua pulau.
Beliau berkata simpanan marin, dikenali sebagai Marae Moana, akan memberikan persekitaran satu peluang untuk pulih, membenarkan penduduk pulau melindungi warisan mereka.
“Apabila saya berpindah pulang ke sini (dari New Zealand) kira-kira 16 tahun lalu saya melihat apa yang sedang berlaku kepada lagun dan terumbu dan benar-benar mahu melindungi mereka untuk anak saya,” kata beliau. “Saya tidak mahu mereka mengalami pengalaman yang sama seperti saya ketika sedang membesar sebagai seorang budak.” Idea tersebut bukan mengharam perikanan komersial atau penjelajahan galian, tetapi memastikan ia dijalankan dalam cara yang mampan. – AFP