Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Sebagai usaha untuk mendekati orang ramai termasuk golongan muda, belia serta para pelajar supaya mereka mengetahui dan memahami akan nilai serta kepentingan sejarah tanah air, Pusat Sejarah Brunei telah mengadakan Hari Terbuka Pusat Sejarah Brunei (PSB) 2019 yang berlangsung di Bangunan PSB, di sini, hari ini.
Acara yang diadakan untuk kali kedua itu memberikan peluang kepada warga PSB untuk mendekati orang ramai dan memberikan pendedahan kepada mereka mengenai aktiviti, kemudahan serta perkhidmatan yang terdapat di pusat berkenaan.
Acara itu dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis, warga PSB serta keluarga mereka dan orang ramai yang sama-sama memeriahkan dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang diadakan.
Antara aktiviti yang menarik diadakan semasa acara itu ialah kegiatan senamrobik, riadah berbasikal, pertandingan kereta Tamiya, Pameran Hot Wheels, Street Soccer, pertandingan Foto Sejarah: Ambil Swafoto dan Menang serta gerai jualan.
Acara yang juga diadakan bersempena dengan cuti persekolahan akhir tahun itu, juga diharap dapat memeriahkan lagi program Bandarku Ceria serta mendekatkan masyarakat kepada kemudahan yang terdapat di PSB sebagai pusat sumber persejarahan Brunei.
