WUHAN – Hampir sebulan memasuki semester baharu, Du Chanchan, seorang pelajar PhD di Universiti Pertanian Huazhong, jarang dilihat di kampus universiti di Wuhan, ibu kota wilayah Hubei, tengah China.
Du, yang mengambil jurusan penanaman tanaman dan sistem pertanian, sibuk menanam padi dan menternak itik di stesen sains dan teknologi padi ratun di Bandar Guohe, kira-kira 150 kilometer dari universitinya.
“Saya tidak pernah melihat padi atau itik secara langsung sebelum saya memulakan pengajian pasca siswazah saya,” kata Du, yang dibesarkan di kawasan pergunungan di wilayah Gansu di barat laut China, di mana bijirin sorghum adalah tanaman utama.
“Sekarang saya boleh membezakan jenis beras berdasarkan rasa dan menternak ribuan itik pada masa yang sama,” katanya, ketika keluar dari kawasan padi yang dipenuhi dengan itik, yang najisnya berfungsi sebagai nutrien semula jadi untuk tanaman.
Sepanjang lima tahun yang lalu, pelajar berusia 28 tahun itu menghabiskan lebih 300 hari setahun di stesen sains dan teknologi itu untuk meneroka sistem penanaman padi ratun dan itik, teknik pertanian yang boleh meningkatkan hasil tanaman dengan kesan alam sekitar yang minimum.
“Saya berada jauh dari kehidupan bandar yang sibuk dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi saya fikir ia lebih berbaloi,” kata Du, yang penyelidikannya telah membantu meningkatkan pendapatan tahunan petani tempatan sebanyak lebih AS$6,270 bagi setiap hektar, sambil mengurangkan penggunaan racun perosak dan baja.
Bulan lalu, artikelnya yang menganalisis bagaimana sistem penanaman bersama itu mempengaruhi produktiviti tanaman dan pelepasan gas rumah hijau telah diterbitkan dalam European Journal of Agronomy, membolehkan pengetahuannya memberi manfaat kepada petani di seluruh dunia.
Stesen sains dan teknologi tempat Du bekerja telah ditubuhkan 10 tahun lalu oleh seorang bekas tentera. Kini ia telah berkembang menjadi jambatan yang menghubungkan pelajar agronomi yang memerlukan penyelidikan lapangan dan petani yang tidak mempunyai akses kepada teknologi canggih.
Terdapat lebih daripada 1,000 pusat sains dan teknologi luar bandar seumpama itu di seluruh China, menyumbang kepada percambahan teknologi pertanian dan membantu dalam usaha membasmi kemiskinan.
Jumlah pengeluaran bijirin China mencatat rekod baharu sebanyak 687 juta tan pada 2022 dan kekal melebihi 650 juta tan selama lapan tahun berturut-turut, menurut Bio Statistik Kebangsaan.
Limpahan hasil pertanian yang berterusan telah menyerlahkan peranan promosi teknologi sains pertanian dalam meningkatkan hasil bijirin, yang mungkin mencecah 694 juta tan pada 2023.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pusat teknologi akar umbi telah bekerjasama dengan pihak berkuasa kerajaan dan institut penyelidikan untuk mengurangkan masa yang diperlukan untuk teknologi pertanian menjadi hasil yang produktif,” kata Huang Jianliang, seorang profesor agronomi di Universiti Pertanian Huazhong.
Rendah diri
Wang Weibin, pengasas stesen Xiantao, meninggalkan tentera dan memulakan aktiviti pertanian pada tahun 2008. Prihatin tentang kemahiran pertanian yang terhad dan pendapatan petani tempatan yang rendah, walaupun tanah yang subur, beliau memutuskan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana dalam bidang agronomi di Universiti Pertanian Huazhong untuk mencari penyelesaian.
Di sana, Wang mencetuskan idea untuk menjemput ahli akademik dan pelajar yang berpendidikan tinggi bagi membantu meningkatkan teknik pertanian penduduk kampung, yang kebanyakannya hanya bersekolah sehingga peringkat menengah.
“Saya telah melihat bagaimana petani memerlukan sains dan teknologi, sementara banyak penemuan penyelidikan terhad kepada kertas dan makmal,” kata Wang. “Ideanya adalah untuk mengubah profesor menjadi petani, dan petani menjadi profesor.”
Cadangan beliau dengan cepat mendapat sokongan daripada profesor di universiti. “Penyelidik pertanian mesti lulus ujian tanah. Hanya di ladang kita boleh mengenal pasti masalah mendesak yang dihadapi sektor pertanian dan mencari penyelesaiannya,” kata Huang, penyokong awal inisiatif itu.
Tetapi ramai petani pada mulanya ragu-ragu dengan ‘golongan intelektual’ yang datang.”Saya fikir mereka hanya di sini untuk merasai kehidupan yang berbeza. Saya tidak percaya bahawa anak-anak muda yang kelihatan begitu asing dengan tanah boleh mengusahakan tanah ini dengan baik,” kata Wei Tianhua, seorang petani dari Kampung Zhongling di Bandar Guohe.
Para pelajar tersebut menetap di tanah kontrak Wang, menanam padi ratun baharu. Tanaman pertama mereka tumbuh dengan baik sehingga ramai petani yang ingin tahu, termasuk Wei, datang untuk mendapatkan nasihat mereka dan mula menanam varieti yang sama di bawah bimbingan pelajar. Inisiatif itu terbukti mendatangkan kejayaan besar dan pendapatan Wei sejak itu meningkat empat kali ganda.
Selain pelajar agronomi, stesen sains dan teknologi itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah menarik para sarjana dari pelbagai latar belakang, seperti kejuruteraan, teknologi komputer, biokejuruteraan dan ekonomi.
“Selain teknik pertanian, kita boleh belajar tentang dasar, pengurusan dan rantaian perindustrian yang berkaitan dengan pertanian di sini serta situasi sebenar di luar bandar dan petani, yang sukar dipelajari melalui buku,” kata Huang.
Mengatasi ‘brain drain’
Dengan Du dijangka menamatkan pengajian dalam masa setahun, rakan pelajar juniornya telah datang ke stesen sains dan teknologi itu untuk meneruskan penyelidikan. Zhou Lewei dan Hu Luanluan, kedua-duanya pelajar lepasan ijazah, cuba menanam cendawan dengan tangkai padi untuk membantu petani menjana pendapatan pada musim sejuk, manakala beberapa pelajar lain sedang mengkaji penanaman padi ratun dan sesawi.
Setakat ini, stesen itu telah mempromosikan 27 teknologi pertanian baharu dan menyelesaikan lebih 150 masalah berkaitan pertanian dan penternakan. Ia telah menjalankan 160 sesi kuliah dan latihan percuma, menyampaikan teknologi dan kemahiran pertanian kepada lebih 20,000 petani dari seluruh bandar.
Zhou Shiwen, Timbalan Ketua Parti Bandar Guohe, berkata model pertanian bersama itik dan padi ratun di kampung itu telah pun diperkenalkan di sembilan bandar di Xiantao.
Menurut data Kementerian Pendidikan, dari 2009 hingga 2020, stesen sains dan teknologi itu telah membantu hampir 600 kampung yang dibelenggu kemiskinan dan lebih 170,000 penduduk kampung yang miskin. Lebih 800 profesor dan sarjana serta lebih 1,500 pelajar pascasiswazah, menyumbang kepada kerja stesen sains dan teknologi itu.
Kawasan luar bandar China telah lama mengalami masalah ‘brain drain’ di mana orang muda berhijrah ke bandar yang lebih besar, tetapi pusat teknologi akar umbi telah menyuntik kehidupan baharu ke luar bandar, membantu meningkatkan kadar sumbangan kemajuan teknologi sains pertanian negara daripada 54.5 peratus pada 2012 kepada 61.5 peratus pada 2021. – Xinhua