Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Pasukan Miri FA berazam untuk kekal berada di puncak liga dalam Kejohanan Bola Sepak Jemputan merebut Piala Lela Cheteria selepas berjaya mengutip 16 mata dengan cemerlang apabila memenangi lima perlawanan dan sekali seri.
“Kami tidak menafikan cabaran hebat daripada semua pasukan yang mempunyai kelebihan tersendiri. Namun, saya gembira kerana pemain-pemain kami berjaya memberikan saingan yang mantap sehingga berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang enam perlawanan,” jelas ketua jurulatih Miri FA, Ismail Lumut.
Katanya, pasukan Miri FA akan meneruskan rentak dan momentum seperti perlawanan-perlawanan terdahulu, di samping meningkatkan keberkesanan taktikal serta formasi menyerang dan bertahan dengan dimensi yang berbeza-beza.
“Kejohanan ini hampir memasuki pusingan kedua dan saya yakin pemain-pemain kami akan terus berusaha meningkatkan reputasi serta menampilkan mutu saingan yang lebih mantap kepada pasukan lawan,” ujarnya.
Peluang Miri FA untuk mengekalkan rekod tanpa kalah semakin cerah apabila anak buah Ismail Lumut itu akan bertemu pasukan Sport School FC di Padang dan Belapan, Berakas, pada 13 Julai nanti.
Sementara itu, pasukan Gergasi FC yang kini naik ke tangga ketiga liga, tidak memandang mudah pertemuan menentang pasukan PKT FT di Padang dan Belapan, Berakas pada 11 Julai.
Kejayaan PKT FT menundukkan pasukan Shada FT dengan kemenangan besar 6-1 minggu lalu, menjadi penyuntik semangat kepada pemain-pemain PKT FT untuk menguji pasukan Gergasi FC yang hanya berkongsi mata dengan pasukan Limbang FA pada perlawanan yang lalu.
“Kita perlu berhati-hati dengan kebangkitan pasukan PKT FT. Pemain-pemain perlu terus fokus sepanjang sesi latihan dan seterusnya mengadaptasi segala strategi dalam perlawanan nanti,” ujar ketua jurulatih Gergasi FC, Haji Rosanan Samak.
Beliau turut mengakui saingan merebut kedudukan terbaik liga kini semakin sengit dan menagih semua pemainnya untuk memainkan peranan yang berkesan dalam setiap posisi pasukan.
Perlawanan lain akan menyaksikan pertemuan antara pasukan di kelompok terbawah liga, Shada FT dan Supastrikas di Kompleks Sukan Arena, Seria pada 11 Julai yang mana kedua-duanya akan berusaha untuk menang dan mengelakkan daripada berada di kedudukan tercorot liga.
Sementara itu, pasukan Kasuka FC berhasrat menebus kekalahan apabila bertemu dengan Limbang FA yang juga dikenali sebagai ‘Northern Buffalo’ di Padang dan Belapan, Berakas, pada 13 Julai nanti.
“Pertemuan dengan Kasuka FC menjadi medan terbaik buat pemain-pemain kami untuk meneruskan hala tuju dalam kejohanan ini. Walaupun kita tahu pasukan Kasuka FC mempunyai ramai pemain berpotensi tinggi namun kami akan berusaha memberikan saingan dan cuba mengekalkan rekod tanpa kalah,” jelas ketua pasukan Limbang FA, Bulhaji bin Wahab.
Semua di atas: Pasukan Miri FA dimantapkan dengan tonggak penyerang yang pantas dan pertahanan yang kental. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN URUS SETIA PIALA LELA CHETERIA