Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pengajian Tinggi memaklumkan bahawa pengambilan HECAS 2024 Pusingan Pertama secara dalam talian bagi kemasukan ke Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) iaitu Universiti Brunei Darusslam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Politeknik Brunei (PB) dan permohonan Biasiswa Kerajaan ke Luar Negeri di bawah kendalian Jabatan Pengurusan Biasiswa, Kementerian Pendidikan bagi tahun akademik 2024/2025 akan bermula esok (18 Januari), dari jam 9:00 pagi dan akan ditutup pada 29 Februari, sekitar 3 petang.
Kursus-kursus yang ditawarkan adalah di peringkat Ijazah Pertama, Diploma Tertinggi Kebangsaan dan Diploma Level 5.
HECAS dibukakan kepada pemegang kad pintar Brunei Darussalam yang sah, iaitu kad pintar yang berwarna Kuning, Ungu atau Hijau.
HECAS tidak memproses permohonan Skim Latihan Dalam Perkhidmatan; dan permohonan pelajar antarabangsa yang tidak mempunyai kad pintar yang tersebut di atas.
Pemohon boleh memakai keputusan yang diramal (Predicted Result) untuk memohon ke IPTA (UBD, UNISSA dan UTB) atau permohonan Biasiswa Kerajaan ke Luar Negeri di bawah kendalian Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan.
Pemohon yang berjaya akan diberi tawaran bersyarat (Conditional Offer) oleh institusi berkenaan.
Sebelum tarikh tutup HECAS, pemohon adalah dikehendaki untuk membuat pembayaran tertunggak melalui aplikasi BIBD Mobile atau secara tunai di kaunter pembayaran di Kaunter 8 (Unit Tunai dan Hasil), Blok C, Tingkat Bawah, Pusat Perkhidmatan Setempat, Kementerian Pendidikan; Pusat Tingkatan Enam Tutong; atau Sekolah Menengah Sultan Hassan, Temburong.
Pemohon juga dikehendaki memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan dalam Institution Checklist.
Bagi keterangan lanjut, bolehlah melayari laman web Kementerian Pendidikan di www.moe.gov.bn atau laman web HECAS yang baru di hecas.moe.gov.bn.
Sebarang pertanyaan, pemohon boleh berhubung terus dengan Pentadbiran HECAS melalui emel di ask.hecas@moe.gov.bn atau melalui nombor telefon 2381992 / 2384149 semasa waktu pejabat.


