LONDON, 9 NOV – Putera George, 12 tahun, menghadiri acara penghormatan pertamanya bagi memperingati askar yang terkorban ketika bertugas di Royal Albert Hall, London, kelmarin, ditemani bondanyaCatherine, nendanya Raja Charles III dan Ratu Camilla.
Para hadirin berdiri ketika kumpulan pancaragam memainkan muzik sebaik ketibaan keluarga diraja, yang duduk di ruang khas mereka di dewan konsert terkenal itu.
Pewaris takhta, Putera William, tidak hadir kerana baru pulang dari persidangan iklim COP30 di Brazil. George ialah anakanda sulungnya dan berada di kedudukan kedua untuk mewarisi takhta.
Festival of Remembrance dianjurkan oleh Royal British Legion, sebuah pertubuhan yang berdedikasi menyokong para veteran dan keluarga mereka.
Acara itu menampilkan bacaan, doa, video serta persembahan muzik, termasuk persembahan oleh Rod Stewart, dengan Perdana Menteri Keir Starmer dan isterinya Victoria turut hadir.
Acara tahun ini turut memperingati ulang tahun ke-80 tamatnya Perang Dunia Kedua. Kerabat diraja juga dijadualkan berkumpul pada Ahad bagi upacara tradisi memperingati askar gugur, Remembrance Sunday. – AFP


