LOS ANGELES, 1 MAC – Putera Britain Harry, yang menyalahkan gangguan media sebagai menyumbang kepada kematian ibunya Puteri Diana pada 1997, memberitahu hos rancangan temu bual Amerika Syarikat (AS) Oprah Winfrey bahawa beliau bimbang sejarah mungkin berulang lagi.
Harry dan isteri Meghan Markle menggemparkan kerajaan berperlembagaan Britain dengan pengumuman mengejutkan pada Januari 2020 bahawa mereka akan berundur daripada tugas diraja. CBS semalam mengeluarkan klip ringkas mengenai temu bual ‘peribadi’ bersama Winfrey mengenai kehidupan mereka yang akan disiarkan pada 7 Mac.
“Kebimbangan terbesar saya adalah sejarah berulang lagi,” kata Harry, 36, jelasnya merujuk kepada kematian ibunya yang terbunuh dalam nahas kereta di Paris pada 1997 ketika beliau cuba melepaskan diri daripada paparazi.
Harry telah lama mempunyai hubungan sukar dengan tabloid British dan menyalahkan gangguan media sebagai menyumbang kepada kematian Diana.
“Saya benar-benar gembira kerana dapat duduk di sini berbual bersama anda dengan isteri di sisi saya,” beritahu Harry kepada Winfrey, sambil menggenggam tangan Markle.
“Kerana saya tidak dapat membayangkan keadaan yang diharunginya (ibu), melalui proses ini sendirian. “Ia amat sukar untuk kami berdua, namun sekurang-kurangnya kami mempunyai sokongan di antara satu sama lain.” – AFP