Wednesday, April 16, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Putera Harry fail rayuan kes keselamatan

    LONDON, 8 APRIL- Putera Harry telah membawa kes ke Mahkamah Rayuan bagi mendapatkan semula perlindungan keselamatan kerajaan di Britain, yang telah ditarik balik sejak beliau melepaskan peranan sebagai kerabat diraja bekerja dan berpindah ke Amerika Syarikat (AS) pada 2020.

    Peguam beliau dijadualkan akan mencabar keputusan sebuah mahkamah rendah di Mahkamah Rayuan London hari ini.

    Tahun lalu, seorang hakim Mahkamah Tinggi memutuskan keputusan panel kerajaan untuk memberikan perlindungan khas kepada Harry mengikut keperluan bukanlah satu tindakan yang menyalahi undang-undang, tidak rasional atau tidak wajar.

    Harry mendakwa beliau dan keluarganya berada dalam keadaan bahaya, setiap kali pulang ke tanah air berikutan kecaman di media sosial serta gangguan berterusan daripada media.

    Harry, 40, anak bongsu kepada Raja Charles III, telah membawa kelainan dalam keluarga diraja dengan membawa kes terhadap kerajaan dan akhbar tabloid ke mahkamah dengan pelbagai keputusan.

    Namun, beliau kalah dalam kes tersebut, apabila mahkamah menolak permintaannya untuk membayar sendiri perkhidmatan polis sebagai pengiring keselamatan ketika berada di United Kingdom.

    Pihak kerajaan berhujah anggota polis tidak sepatutnya digunakan sebagai ‘pengawal peribadi untuk golongan kaya.’

    Harry juga telah menarik balik saman fitnah terhadap penerbit akhbar Daily Mail berkaitan dakwaan beliau cuba menyembunyikan usaha mendapatkan semula perlindungan kerajaan.

    Namun, beliau meraih kemenangan penting pada 2023 apabila hakim mendapati aktiviti penggodaman telefon oleh tabloid Daily Mirror adalah ‘meluas dan berulang.’ Harry turut meraih ‘kemenangan besar’ apabila tabloid milik Rupert Murdoch di UK membuat permohonan maaf secara terbuka dan bersetuju membayar ganti rugi besar dalam penyelesaian luar mahkamah atas pelanggaran privasi.

    Beliau masih mempunyai satu lagi kes yang belum selesai terhadap penerbit akhbar Mail. – AP

    Putera Harry tiba di Royal Courts of Justice di London, pada 8 April. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda