PULAU FRASER, Australia, 22 Okt – Duke of Sussex, Putera Harry berpeluang bertemu penduduk asli di Pulau Fraser hari ini tatkala isterinya, Du-chess of Sussex, Meghan Markle mengambil keputusan untuk bercuti daripada tugasan rasmi bagi jelajah pasangan diraja itu ke Australia.
Putera Harry dan Meghan Markle sudah berkunjung ke Sydney, Melbourne dan bandar Dubbo sepanjang lawatan ini di mana beribu-ribu peminat tidak melepaskan peluang untuk berjumpa mereka.
Lawatan ke Pulau Fraser sedikit berbeza, Putera Harry disambut dengan acara tradisi penduduk asli dari masyarakat Butchulla di persisiran Tasik McKenzie.
Putera Harry kemudiannya berjalan kaki di kawasan tasik itu, yang juga sumber air minuman untuk masyarakat Butchulla.
Fraser merupakan pulau pasir terbesar di dunia dan Putera Harry akan mendedahkan plak yang didedikasikan untuk tapak percutian kepada projek Kanopi Komanwel.
Lawatan Putera Harry akan menyentuh mengenai isu-isu alam sekitar di mana beliau akan bertemu renjer-renjer taman untuk mengetahui lebih mendalam mengenai binatang-binatang dan tumbuh-tumbuhan di pulau itu. Kemudiannya, beliau akan bertemu dengan dua paramedik Teluk Hervey, yang telah menyampaikan permintaan terakhir seorang wanita dengan membawanya ke pantai.
Pasangan diraja itu pada awalnya tiba di Queensland sebelum berlepas ke pulau itu secara berasingan.
Putera Harry menggunakan baj dan juga laluan yang digunakan oleh pelancong untuk pergi ke pulau itu, sementara itu Meghan Markle menaiki kapal yang berbeza dan menuju ke kediaman peribadi. – AFP
