Putera Harry, Meghan bantu pesakit kronik

LOS ANGELES, 17 APRIL – Putera Britain, Harry dan isterinya Meghan Markle mengagihkan makanan kepada golongan yang sakit di Los Angeles, aktiviti kemasyarakatan pertama mereka sejak berpindah ke California.

Pasangan itu yang secara rasmi mengundurkan diri sebagai anggota kanan keluarga diraja Britain, pertama kali menjadi sukarelawan dengan ‘Project Angel Food’ pada Ahad lalu, mengagihkan makanan kepada pesakit kronik.

“Mereka agihkan kepada 20 pelanggan dan menceriakan dunia mereka. Pasangan berkenaan secara senyap-senyap meneruskan penghantaran makanan kepada pesakit kronik selepas menyedari beban kerja pemandu badan amal ini,” kata Pengurus Komunikasinya, Anne-Marie Williams.

Pasangan itu berpindah ke California bulan lalu setelah mengumumkan pada bulan Januari bahawa mereka berhasrat untuk berhenti dari kehidupan diraja dan ‘berdikari mencari kewangan sendiri’.

‘Project Angel Food’ yang menyediakan makanan kesihatan kepada pesakit kronik di Los Angeles adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang pertama mendapat sokongan pasangan berkenaan sejak berpindah ke sana.

Malah, Williams berkata, dia juga tidak mengetahui sama ada pasangan itu akan bekerjasama dengan NGO berkenaan pada masa akan datang tetapi berharap mereka sudi untuk terus melakukan kerja amal dengan organisasi itu.

Sebelum itu, media melaporkan Putera Harry dan Meghan merancang untuk melancarkan NGO dikenali sebagai Archewell, merangkumi kumpulan sokongan emosi, pendidikan multimedia dan laman web kesejahteraan.

Mereka memberitahu Daily Telegraph bahawa mereka ingin ‘melakukan sesuatu yang bermakna, untuk melakukan sesuatu yang penting’, tetapi menunda pengumuman perincian lengkap mengenai perkara itu kerana wabak COVID-19 dan akan membuat pengumuman ‘apabila tiba masanya’. – AFP

Gambar bertarikh 2 Oktober 2019 menunjukkan Meghan, diperhatikan oleh Putera Harry, semasa beliau menyampaikan ucapan di Hab Perkhidmatan Pekerjaan Belia di Tembisa, Johannesburg. – AFP