Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Putera Mahkota Denmark naik takhta

    COPENHAGEN, 14 JAN – Raja Denmark Frederik X naik takhta hari ini, membawa era baharu selepas ibunya, Permaisuri Margrethe turun takhta, dengan lebih 100,000 rakyat Denmark hadir ke acara yang belum pernah terjadi sebelum ini.

    Selepas perarakan kereta kuda terakhir melalui jalan-jalan di Copenhagen, permaisuri berusia 83 tahun yang sangat popular itu menandatangani pengisytiharan turun takhta di Istana Christiansborg, menamatkan pemerintahannya selama 52 tahun dan secara automatik menjadikan anak lelakinya sebagai raja.

    Beliau kemudian meninggalkan Majlis Negara, yang turut dihadiri oleh kerajaan, raja baharu, isterinya dan anak sulung mereka yang berusia 18 tahun, Putera Mahkota Kristian yang baharu.

    Margrethe meninggalkan bilik itu dengan air mata, sambil berkata: “Tuhan memberkati raja.”

    Di hadapan rakyat Denmark yang mengibarkan bendera merah putih, Perdana Menteri Mette Frederiksen kemudian mengisytiharkan Frederik yang berusia 55 tahun sebagai raja baharu di balkoni Istana Christiansborg, yang menempatkan parlimen dan jabatan kerajaan.

    Diselubungi kesejukan, Frederik yang kelihatan terharu, berpakaian seragam laksamana dengan epaulet emas, mengalirkan air mata dan tersenyum sambil melambai kepada orang ramai. – AFP

    Raja Demark, Frederik X dan Permaisuri Mary melambai dari balkoni Istana Christiansborg di Copenhagen pada 14 Januari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda