RIYADH, 18 NOV – Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman berangkat meninggalkan Riyadh kelmarin menuju ke Amerika Syarikat (AS) bagi menghadiri rundingan dengan Presiden Donald Trump, lawatan pertamanya ke Washington sejak insiden pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi pada 2018 yang mengundang perhatian meluas masyarakat antarabangsa.
Menurut kenyataan Royal Court dan disiarkan oleh agensi berita Saudi (SPA), keberangkatan baginda adalah atas titah dan perkenan Raja Salman, serta jemputan rasmi daripada Presiden AS, lapor agensi berita Jerman dpa.
Putera Mahkota dijadual bertemu Trump di Rumah Putih hari ini untuk membincangkan hubungan dua hala dan usaha memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang, selain isu-isu yang menjadi kepentingan bersama.
Mohammed mengetuai rombongan yang terdiri daripada Menteri Luar, Menteri Tenaga, Menteri Kewangan, Gabenor Dana Pelaburan Awam (PIF) serta beberapa tokoh perniagaan, menurut sumber kepada dpa.
Trump baru-baru ini menyifatkan pertemuan itu sebagai lebih daripada sekadar mesyuarat rasmi, sambil menyatakan, ‘Kita sedang memuliakan Arab Saudi’.
Beliau juga berkata pihaknya sedang mempertimbangkan permohonan kerajaan Saudi untuk membeli pesawat pejuang F-35.
Pertemuan itu akan menjadi lawatan pertama Putera Mohammed ke Rumah Putih sejak Mac 2018.
Arab Saudi merupakan destinasi luar negara pertama yang dikunjungi Trump bagi lawatan rasmi negara dalam kedua-dua penggal pentadbirannya. – Bernama

