Thursday, July 17, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Putera raja Arab Saudi dilantik menteri tenaga

    RIYADH, 8 SEPT – Raja Arab Saudi, Raja Salman hari ini menggantikan menteri tenaga dengan salah seorang anak lelakinya, kata media kerajaan, dalam satu rombakan besar ketika ketua OPEC itu berdepan harga minyak rendah.

    Pelantikan Putera Abdulaziz bin Salman, abang tiri kepada pemerintah de facto Putera Mahkota Mohammed bin Salman, menandakan pertama kali kerabat diraja telah dilantik menjadi peneraju hal ehwal kementerian tenaga.

    Putera berkenaan menggantikan pegawai veteran, Khaled al-Falih ketika pengeksport-pengeksport minyak mentah utama dunia mempercepatkan persediaan bagi syarikat minyak gergasi milik kerajaan, Aramco dalam senarai saham yang dijangka menjadi terbesar di dunia.

    “Khalid al-Falih telah disingkirkan dari jawatannya,” kata Agensi Berita Rasmi Saudi, dipetik oleh dekri diraja.

    “Duli Yang Teramat Mulia Putera Abdulaziz bin Salman telah dilantik sebagai menteri tenaga.”

    Sejak pelantikannya sebagai menteri minyak pada 2016, Falih telah menjadi wajah dasar tenaga Saudi namun teknokrat veteran itu telah menyaksikan portfolionya merudum beberapa minggu kebelakangan.

    Penyingkirannya muncul beberapa hari selepas beliau disingkirkan sebagai pengerusi Aramco dan digantikan dengan Yasir al-Rumayyan, gabenor bagi Dana Pelaburan Am kerajaan. – AFP

    Gambar fail yang diambil pada 1 Julai 2019 menunjukkan Menteri Tenaga Arab Saudi, Khaled al-Falih (kanan) dan Timbalan Menteri Minyak Saudi, Putera Abdulaziz bin Salman bin Abdulaziz bercakap kepada akhbar pada mesyuarat OPEC ke-176 di Vienna, Austria. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda