RIYADH, 6 Nov – Seorang putera Saudi dan beberapa orang pegawai terbunuh semalam apabila sebuah helikopter terhempas berhampiran selatan sempadan negara dengan Yaman, menurut televisyen negeri.
Saluran berita Al-Ekhbariya mengumumkan kematian Putera Mansour bin Moqren, penolong gabernor wilayah Asir dan anak lelaki bekas putera mahkota.
Ia tidak mendedahkan punca nahas atau nasib pegawai lain yang menaiki pesawat udara itu.
Berita tentang nahas disiarkan tatkala Arab Saudi meneruskan penyingkiran pegawai atasan negara, dengan berpuluh orang putera, menteri dan jutawan ditahan tatkala Putera Mahkota Mohammed bin Salman mengukuhkan kuasanya.
Beliau dilihat sebagai pemerintah de facto dalam mengawal kesemua jabatan utama kerajaan, daripada pertahanan kepada ekonomi, Putera Mohammed dilihat sedang menghapus saki-baki tentangan dalaman sebelum peralihan kuasa daripada bapanya yang berusia 81 tahun, Raja Salman.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P16-A_071117.jpg)
Nahas helikopter juga berlaku selepas Arab Saudi pada Sabtu memintas dan memusnahkan peluru berpandu balistik berhampiran lapangan terbang antarabangsa Riyadh selepas ia ditembak dari Yaman dalam kempen perang ke atas pemberontak Huthi yang disokong oleh Iran.
Semalam, Arab Saudi mengumumkan ganjaran sehingga $30 juta untuk memperoleh maklumat yang akan membantu menahan atau menjejaki beberapa orang pemimpin dan perancang pemberontak Huthi.
Satu gabungan pimpinan Saudi yang memulakan campur tangan tentera di Yaman pada 2015 telah menuduh Iran membekal peluru berpandu balistik kepada pemberontak. Serangan peluru berpandu pertama disasarkan oleh pemberontak Syiah di tengah ibu negara Saudi, sekali gus menekankan ancaman yang meningkat ditimbulkan oleh konflik berterusan di Yaman.
Perang di Yaman telah merebak ke sempadan. Arab Saudi memimpin campur tangan untuk menyokong kerajaan Presiden Abedrabbo Mansour Hadi selepas Huthi memaksa beliau dibuang negeri. – AFP