PARIS, 13 MAC – Perbicaraan seorang warga Perancis yang dituduh mengaut keuntungan berjuta-juta euro daripada penjualan jam tangan mewah tiruan, menarik perhatian kepada perdagangan tiruan yang menguntungkan di seluruh dunia.
Digelar sebagai ‘Putera Rolex palsu,’ Julien V, secara terbuka mengaku menjalankan rangkaian penjualan jam tangan tiruan ke Perancis dari Thailand antara 2019 dan 2022, sebelum dia ditahan.
Dia memberitahu penyiasat bahawa kontraktor di China mengeluarkan sehingga 10 jam tangan setiap hari untuknya, kebanyakannya produk tiruan jenama mewah Rolex dan menghasilkan jumlah jualan 12,000 jam tangan dengan perolehan AS$3.3 juta.
Bagaimanapun, pakar jam tangan yang dipetik dalam akhbar Nice-Matin, Michel Vittini berkata dia percaya Julien V. menjual ‘sekurang-kurangnya 50,000 jam Rolex tiruan’.
Sesetengah jam itu hampir tidak dapat dibezakan daripada yang asli, dengan Julien V. mendakwa dia boleh ‘menjadikannya benar-benar asli, atau palsu sepenuhnya’ bergantung pada pada kehendak pelanggan.
Replika Rolex buatan China yang dilihat asli itu berharga 500 euro seutas, dan boleh meningkat kepada 1,300 euro jika ia juga mempunyai dua nombor siri tulen yang terukir, katanya.
Untuk harga 6,500 euro, jam tangan itu mempunyai mekanisme automatik asal manakala yang dibuat khas daripada bahagian tulen sepenuhnya boleh mencecah 60,000 euro.
Jam tangan Rolex asli berharga dari sekitar 5,000 euro hingga melebihi 70,000 euro. Harganya kekal atau meningkat nilainya dalam pasaran jam tangan mewah terpakai. – AFP


