LONDON, 21 OGOS – Putera William dan keluarganya bakal berpindah ke kediaman baharu di estet diraja Windsor, langkah yang menimbulkan persoalan mengenai masa depan Istana Buckingham sebagai kediaman rasmi monarki Britain.
Pasangan diraja itu dilaporkan akan mendiami Forest Lodge, sebuah rumah agam lapan bilik tidur yang dibina pada akhir abad ke-18, lebih besar berbanding kediaman mereka sekarang yang hanya mempunyai empat bilik.
Menurut akhbar The Sun yang memetik sumber rapat keluarga diraja, Putera William dan Catherine, Puteri Wales, menganggap kediaman tersebut sebagai rumah kekal mereka.
Jurucakap Istana Kensington mengesahkan kepada AFP bahawa keluarga Wales akan berpindah hujung tahun ini, namun enggan mengulas lanjut.
Laporan itu turut menyebut pasangan diraja berkenaan akan menanggung sendiri kos pengubahsuaian, perpindahan serta bayaran sewa, di samping dikatakan berharap mendapat ‘permulaan baharu’ selepas Catherine menjalani rawatan kanser pada 2024.
Ketiga-tiga anak mereka iaitu George, 12, Charlotte, 10 dan Louis, 7 akan bersekolah di kawasan berhampiran.
Namun, keputusan keluarga Wales menetap secara tetap di Windsor mencetuskan spekulasi mengenai peranan Istana Buckingham pada masa hadapan sebagai kediaman rasmi raja Britain. – AFP

