LONDON, 8 OKT – Putera Britain William hari ini melancarkan hadiah alam sekitar ‘paling berprestij’ sepanjang zaman, bertujuan menukar ‘sikap pesimis kepada optimis’ dengan menganugerahi penyelesaian inovatif kepada masalah terbesar yang dihadapi planet.
Hadiah Earthshot akan mengemukakan lima anugerah bernilai 1 juta pound setiap tahun untuk tempoh 10 tahun akan datang untuk ‘memberikan insentif kepada perubahan dan membantu memperbaiki planet kami dalam tempoh 10 tahun akan datang,” kata pejabatnya di London.
Istana Kensington menyifatkannya sebagai ‘hadiah alam sekitar global paling berprestij dalam sejarah’ dan berkata ia menerima inspirasi daripada projek ‘Moonshot’ presiden AS John F. Kennedy pada 1960.
“Kami perlu mencari penyelesaian untuk membolehkan kami menjalani kehidupan kami dan tidak berasa bersalah mengenai sesetengah perkara yang kami lakukan,” beritahu putera, yang merupakan pewaris kedua takhta UK, kepada Radio 4 BBC dalam satu temu bual yang disiarkan hari ini.
“Ia perlu berubah akhirnya, disebabkan saya juga bimbang dari perspektif kesihatan mental, kerisauan yang akan dialami oleh generasi lebih muda ini.”
Beliau berkata hadiah itu akan ‘mengumpul bersama idea terbaik, penyelesaian terbaik mungkin, untuk mengatasi beberapa cabaran alam sekitar terbesar dunia.’
“Tempoh 10 tahun akan datang adalah dekad penting untuk perubahan. Masa adalah sangat penting, itulah sebabnya kenapa kami percaya hadiah global ini merupakan satu-satunya cara ke depan.”
Projek itu menumpu pada lima matlamat yang bakal dipenuhi pada 2030: ‘lindungi dan pulihkan alam semula jadi’, ‘bersihkan udara kami’, ‘pulihkan lautan kami’, ‘bina dunia bebas bahan buangan’ dan ‘perbaiki iklim kami.’
Hadiah itu disokong oleh gabungan individu, pertubuhan dan perniagaan dengan pemenang akan diumumkan setiap tahun pada satu majlis di bandar berlainan di seluruh dunia, bermula dengan London pada 2021.
Hadiah boleh dianugerahi kepada individu atau kumpulan, sama ada mereka saintis, aktivis, ahli ekonomi, kerajaan, pemimpin perniagaan malah negara. – AFP