Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Putera William lancar program Earthshot Prize

    SINGAPURA, 8 NOV – Putera William hari ini berkata bahawa beliau berhasrat untuk mengembangkan program Earthshot Prize miliknya menjadi gerakan global untuk memperkukuh inovator alam sekitar dan merangsang kerajaan untuk lebih terlibat dalam sektor hijau agar perubahan iklim lebih mudah ditangani.

    William berkata beliau meramalkan perubahan dasar dalam perlindungan alam sekitar apabila program itu tamat pada 2030, dengan memberikan sokongan yang lebih besar kepada para inovator.

    Earthshot Prize telah dilancarkan oleh badan amal Yayasan Diraja miliknya pada 2020 sebagai program 10 tahun yang menawarkan AS$1.2 juta kepada lima pemenang setiap tahun yang membangunkan penyelesaian untuk ancaman alam sekitar planet ini.

    “Pada masa depan, kita akan beralih dari hanya sebuah anugerah kepada kepada menjadi platform dan menjadi pergerakan,” kata Putera dari Wales itu pada persidangan Earthshot, sehari selepas lima pemenang 2023 diumumkan atas usaha dalam pemuliharaan, kualiti udara, lautan, sisa, dan perubahan iklim.

    “Kecemasan iklim tidak akan lagi menjadi satu perkara yang ditakuti oleh generasi akan datang,” tambah beliau.

    “Kita akan mempunyai lebih ramai juara dan contoh untuk diikuti serta individu yang boleh membimbing kita dalam peralihan ini. Ia tidak lagi akan menjadi sesuatu yang menakutkan, memakan masa atau sukar, segalanya akan menjadi lebih mudah. Itulah visi saya untuk tahun 2030,” jelasnya.

    Earthshot Prize mengumumkan hari ini bahawa ia menyediakan platform dalam talian baharu yang dipanggil Launchpad yang menyediakan sokongan kepada semua finalis Earthshot dan calon untuk menyokong keperluan pembiayaan mereka.

    Platform tersebut kini telah menyediakan profil untuk 24 penyelesaian finalis dan pemenang, mempamerkan lebih daripada AS$500 juta bagi keperluan pembiayaan. Lebih banyak lagi akan ditambah apabila Earthshot menerima lebih 1,000 pencalonan setiap tahun, di mana 15 finalis akan dipilih. – AP

    Putera William (kanan) semasa dalam perbincangan bersama ahli-ahli panel di atas pentas pada sidang kemuncak Earthshot+ di Park Royal Pickering di Singapura, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda