NEW YORK, 19 SEPT – Putera William kelmarin buat pertama kalinya melihat secara langsung perairan di bandar New York semasa dalam lawatan ke projek pemulihan terumbu tiram, selepas tiba di Amerika Syarikat (AS) untukmenghadiri sidang kemuncak alam sekitar yang berkaitan dengan persaingan global untuk penyelesaian kepada cabaran perubahan iklim.
Putera William dibawa ke Pulau Gabenor di Pelabuhan New York untuk melihat usaha Oyster Billion Project. Pertubuhan itu cuba membina semula terumbu tiram yang dahulunya banyak di perairan New York, dan yang boleh membantu dengan penapisan air dan melindungi daripada kerosakan ribut.
Putera William juga bertemu dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, kelmarin.
Mereka berdua membincangkan usaha yang diperlukan untuk meningkatkan usaha memerangi perubahan iklim, serta cara untuk membiayai pembangunan dan menambah baik pelaksanaan matlamat utama PBB.
Beliau hari ini dijadualkan berucap di Sidang Kemuncak Inovasi Hadiah Earthshot. Putera William merupakan pengasas anugerah itu yang mencari cara untuk menangani masalah yang timbul akibat perubahan iklim, dan akan mengumumkan kumpulan kedua finalis.
Sidang kemuncak itu berlangsung semasa Minggu Iklim New York dan persidangan ke-78 pemimpin dunia di Perhimpunan Agung PBB. – AP
