Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Puteri Aiko berkenan adakan lawatan rasmi ke Laos

    VIENTIANE, 18 NOV – Puteri Aiko dari Jepun tiba di Laos kelmarin untuk lawatan rasmi pertamanya ke luar negara, lapor media kerajaan, satu kunjungan yang sebahagian besarnya bersifat simbolik kepada penerima kecil bantuan Tokyo di Asia Tenggara.

    Puteri berusia 23 tahun itu merupakan satu-satunya anak kepada Maharaja Naruhito, namun, tidak berada dalam senarai pewarisan takhta akibat peraturan keluarga diraja Jepun yang menetapkan pewarisan hanya kepada lelaki akan menghabiskan seminggu di negara komunis itu sempena ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik.

    Sebagai salah satu ekonomi terbesar di Asia, Jepun telah menyediakan lebih daripada AS$370 juta dalam bentuk geran kepada Laos antara 2019 dan 2024, menjadikannya antara penyumbang dua hala terbesar kepada negara miskin itu.

    Sebahagian besar daripada lebih 150 projek pembangunan dalam tempoh tersebut telah dibiayai melalui agensi pembangunan luar Jepun, JICA.

    Laos, bekas tanah jajahan Perancis dengan penduduk sekitar lapan juta orang, mempunyai eksport yang terhad dan kerajaan negara itu menanggung hutang besar kepada pemberi pinjaman luar.

    Sepanjang lawatannya sehingga Sabtu, Aiko dijadualkan bertemu Presiden Thongloun Sisoulith dan melawat sebuah muzium bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahan letupan yang tidak meletup peninggalan Perang Vietnam, yang masih menyebabkan kematian dan kecederaan di Laos.

    Jepun telah lama menyokong program nyah bahan letupan dan pemulihan di negara itu.

    Aiko juga akan menghadiri pertandingan seni mempertahankan diri di Pusat Budo yang disokong Jepun serta melawat sebuah sekolah bahasa Jepun, menurut laporan media Jepun.

    Jepun sering menghantar ahli keluarga diraja muda dalam misi muhibah ke seluruh Asia Tenggara, sebagai isyarat lembut kuasa diplomasi yang bertujuan membina hubungan peribadi jangka panjang di luar politik.

    Di samping itu, Laos dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah menerima kunjungan beberapa kerabat diraja antarabangsa.

    Puteri Sirindhorn dari Thailand berkunjung pada tahun ini dan tahun lalu serta Grand Duke Henri dari Luxembourg pada 2022.

    Maharaja Naruhito dari Jepun, ketika itu masih putera mahkota, kali terakhir melawat Laos pada 2012. – AFP

    Puteri Aiko (kiri tengah) semasa mengadakan lawatan ke Patousay, Vientiane, Laos pada 18 November. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda