TOKYO, 23 MEI – Puteri kepada Maharaja Jepun, Maharaja Naruhito dan Maharani Masako, Puteri Aiko berkenan mengadakan lawatan rasmi ke luar negara dengan mengunjungi Laos pada November ini, menurut Imperial Household Agency, hari ini.
Lawatan julung kali oleh Puteri Aiko itu adalah bersempena sambutan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik antara Jepun dan Laos, lapor agensi berita Kyodo. Puteri yang kini berusia 23 tahun itu dijadualkan berangkat ke negara Asia Tenggara itu sebagai utusan khas diraja bagi memupuk persahabatan serta mengeratkan hubungan muhibah antara kedua-dua negara.
Meskipun atur cara lawatan masih dalam peringkat perbincangan, pihak agensi memaklumkan bahawa Puteri Aiko dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden Laos, Thongloun Sisoulith, serta menghadiri beberapa acara kenegaraan dan peringatan rasmi. – Bernama
