LONDON, 11 MAC – Catherine, Puteri Wales hari ini memohon maaf dan mengaku telah menyunting potret rasminya yang dikeluarkan oleh istana, selepas AFP dan agensi lain menarik balik gambar tersebut.
Kate, 42, tidak kelihatan di khalayak ramai sejak menghadiri upacara gereja pada Hari Krismas, dan menjalani pembedahan perut pada Januari, mencetuskan spekulasi mengenai kesihatannya, terutamanya dalam talian.
Pejabat Istana Kensington kelmarin berusaha untuk menepis khabar angin dengan mengedarkan gambar rasmi yang dikatakan diambil oleh suaminya, Putera William bersama tiga anak mereka.
Namun timbul persoalan mengenai potret Kate yang tersenyum sempena Hari Ibu, dengan berpakaian kasual dan duduk di kerusi taman, dikelilingi oleh Putera George, Puteri Charlotte dan Putera Louis.
Terdapat beberapa percanggahan dalam gambar tersebut, seperti tangan kiri Charlotte tidak sejajar dengan lengan kardigannya dan sebahagian lengan yang hilang.
Rambut puteri berusia lapan tahun itu berakhir secara tiba-tiba di bahunya sementara zip Kate lebih terang daripada bahagian lain.
AFP, Getty, Associated Press (AP) dan Reuters semuanya mempunyai dasar mengenai pengedaran gambar yang dimanipulasi, dan menarik balik, walaupun pada mulanya menerbitkan gambar yang disediakan oleh Istana Kensington.
Persatuan Akhbar domestik Britain berkata hari ini ia juga menarik balik gambar itu, dengan menyatakan ‘tiada penjelasan’ mengenai gambar dari Istana Kensington. – AFP