Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Puteri Sarah menang saman fitnah, bekas pekerja diarah bayar RM150,000

    Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur baru-baru ini mengarahkan bekas pekerja kepada pelakon Malaysia, Puteri Sarah Liyana iaitu Nazatul Nazira Zainol Abidin membayar ganti rugi RM150,000 kepada pelakon itu berhubung hantaran fitnah dalam dua platform media sosial tahun lalu.

    Menurut mStar, mahkamah mendapati Puteri Sarah telah berjaya membuktikan tuntutan fitnah dibuat Nazatul sehingga mencemarkan reputasinya sebagai selebriti, usahawan dan ibu tunggal.

    Selain ganti rugi, Nazatul juga diperintahkan untuk membayar kos perbicaraan sebanyak RM30,000 kepada Puteri Sarah selain faedah pada kadar lima peratus setahun ke atas jumlah penghakiman dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.

    Mahkamah juga memerintahkan Nazatul membuat satu aku janji tidak akan mengulangi perbuatan yang sama, injunksi menghalang penerbitan lanjut kenyataan fitnah dan perintah kepada defendan untuk membuat permohonan maaf bertulis serta menarik balik kenyataan tersebut di Instagram dan WhatsApp dalam tempoh tiga hari daripada tarikh penghakiman.

    Dalam masa sama, mahkamah turut menolak sepenuhnya tuntutan balas Nazatul selaku defendan terhadap plaintif (Puteri Sarah) dan memerintahkan kos sebanyak RM20,000 dibayar kepada plaintif selepas berjaya membuktikan pembelaan justifikasi.

    Keputusan itu memberikan mesej yang jelas bahawa serangan fitnah, terutamanya melalui media sosial, tidak akan dibiarkan dan reputasi yang dicemarkan oleh tuduhan tidak berasas berhak mendapat pembelaan undang-undang. – Agensi

    Nazatul (kanan) diperintah bayar ganti rugi kepada Puteri Sarah Liyana. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda