Pelakon Puteri Sarah Liyana tidak berasa kekok apabila menyambut Aidilfitri bersama bekas suami iaitu pengarah Syamsul Yusof baru-baru ini.
Sarah atau Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 40, berkata, mereka berdua sepakat melupakan semua sengketa dan mengekalkan hubungan baik demi kebahagiaan anak-anak yang semakin membesar.
“Raya bersama semuanya okay sahaja. Kami memang kekalkan hubungan baik demi anak-anak, untuk keharmonian.
“Kami memang selalu berhubung dan tidak rasa kekok pun untuk sambut raya bersama,” katanya kepada mStar.
Melabel hubungan mereka sebagai rakan baik, bagi pelakon ini persefahaman yang dicapai juga bagi mengelakkan berlaku pergaduhan di antara mereka.
Malah Sarah juga mahu anak-anak terus mendapat kasih sayang seorang bapa dan tidak pernah menghalang Syamsul datang berjumpa mereka.
“Kami sudah ada persefahaman dan masing-masing menghormatinya. Sekarang ini kami berkawan baik dan elak bergaduh.
“Hak penjagaan anak-anak memang dengan saya tetapi Syamsul boleh datang pada bila-bila masa untuk jumpa mereka.
“Saya mahu mereka luangkan masa bersama supaya ada ikatan yang baik,” ujarnya.
Kisah rumah tangga Puteri Sarah dan Syamsul sebelum ini pernah menjadi bualan ramai apabila berlaku pertengkaran termasuk berbalas kenyataan di media sosial.
Enggan lagi perkara tersebut berulang, dia juga melihat langkah terbaik adalah dengan membawa haluan masing-masing.
“Saya pernah berada di fasa bergaduh sebelum ini, tetapi sekarang lebih mahukan ketenangan. Tak mahu anak-anak lihat kami asyik bertengkar.
“Sebelum ini kisah saya jadi tular, sekarang saya mahu fokus anak-anak dan kerjaya. Perniagaan pun semakin berkembang,” jelasnya.
Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 2014 namun sah bercerai pada 14 Jun 2023. Mereka mempunyai dua orang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam dan Sumayyah tahun. – Agensi
