Sunday, September 29, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Puteri Wales hadiri acara umum pertama sejak diagnosis kanser

    LONDON, 16 JUN – Puteri Wales menyertai ahli keluarganya pada acara perarakan tahunan tentera, Trooping the Colour, di London sempena ulang tahun rasmi Raja Charles III, kelmarin.

    Ia adalah penampilan umum pertamanya tahun ini selepas beliau tidak menyertai beberapa acara semenjak disahkan menghidapi kanser.

    Kate, 42, dilihat bersama suami dan tiga anak mereka pada permulaan acara tahunan sebelum menyaksikan prosiding istiadat dari anjung istana.

    Mereka berhimpun di anjung Istana Buckingham diiringi sorakan daripada orang ramai di bawah yang telah mengharungi hujan lebat untuk menghadiri acara gemilang itu.

    Kate hanya muncul selepas hampir tiga bulan puteri itu mendedahkan beliau menerima rawatan kemoterapi, malah tidak pernah dilihat di khalayak umum sejak Krismas tahun lalu.

    Raja Britain Charles III, kanan, disertai oleh Putera William, Putera Louis, Puteri Charlotte dan Kate Puteri Wales di Balkoni di Istana Buckingham pada 15 Jun. – AP

    Dalam satu kenyataan pada petang Jumaat, Kate berkata beliau ‘mencatat perkembangan baik’ dalam rawatannya, yang dijangka diteruskan selama beberapa bulan lagi, tetapi ‘belum pulih sepenuhnya’.

    “Saya tidak sabar-sabar untuk menghadiri perarakan Ulang Tahun Raja hujung minggu ini bersama keluarga saya dan berharap dapat menyertai beberapa acara awam pada musim panas,” tambah puteri itu.

    Pengumuman kanser Kate keluar hanya beberapa minggu selepas didedahkan Raja Charles juga telah didiagnosis dengan kanser. Kedua-duanya tidak mendedahkan jenis kanser yang dihidapi.

    Charles, 75, diberi kebenaran untuk menyambung semula tugas awam pada April, selepas doktor berkata mereka ‘berpuas hati’ dengan perkembangannya.

    Acara pertamanya adalah bertemu dengan kakitangan dan pesakit di pusat rawatan kanser London. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda