LONDON, 9 JAN – Puteri Wales, Catherine genap berusia 43 tahun hari ini, dengan suaminya, Putera William, memuji kekuatan beliau dalam menghadapi kanser sepanjang tahun lalu.
Kate, seperti yang dikenali ramai, mendedahkan pada Mac tahun lalu bahawa beliau telah didiagnosis dengan kanser yang tidak dinyatakan dan sedang menjalani rawatan kemoterapi.
Pengumuman itu dibuat beberapa ming-gu selepas bapa mertuanya, Ketua Negara Britain, Raja Charles III, mengumumkan bahawa Baginda juga menerima rawatan kanser.
Kedua-duanya mengundurkan diri dari kehidupan awam selama beberapa bulan pada tahun 2024, tetapi telah kembali menjalankan tugas-tugas diraja, dengan Kate menjalankan tugas dalam skala yang lebih terhad.
Charles, yang berusia 76 tahun, dilaporkan masih meneruskan rawatannya sementara Kate berkata pada September bahawa beliau telah selesai menjalani satu kemoterapi tetapi jalan pemulihan dan penyembuhan sepenuhnya adalah panjang.
Istana Kensington tidak mengumumkan di mana Puteri Wales akan menyambut permulaan tahun ke-43nya.
Beliau biasanya menghabiskan masa tersebut di Norfolk, timur England, bersama putera-puteranya, Putera George yang ber-usia 11 tahun, Puteri Charlotte yang berusia sembilan tahun dan Putera Louis yang berusia enam tahun serta suaminya yang merupakan pewaris takhta. – AFP